Perkara yang berkaitan dengan ini banyak bermain di fikiran wanita zaman moden ini. Antaranya ialah tentang haid,usia dan masa haid,hal-hal diluar kebiasaan haid,hukum-hukum haid,Istihadhah dan hukum-hukumnya,nifas dan hukum-hukumnya dan penggunaan alat pencegah atau perangsang haid, pencegah kehamilan dan penggugur kandungan. Insyaalah saya akan menerangkan serba sedikit dari ilmu yang saya ada mengenai perkara ini…jika tersilap bolehla betulkan…itu hak anda…

Jadi marilah kita melihat perkara ini satu demi satu. Yang pertama adalah mengenai HAID. Ape itu haid? Ape hikmahnya? Kenapa Allah jadikan haid kepada kaum wanita? Dari sudut bahasa, haid ialah (turun sesuatu secara mengalir). Dari sudut syara’, haid ialah     (darah yang keluar dari wanita kerana fitrah kejadiannya tanpa sebarang sebab). Ia keluar pada waktu-waktu yang diketahui. Ia
adalah darah fitrah yang keluar bukan kerana sakit, luka, keguguran atau kelahiran.

Umur seorang wanita yang pada kebiasaan bermula haid ialah antara dua belas hingga lima puluh tahun. Namun wujud kemungkinan haid bermula lebih awal daripada umur dua belas tahun atau lebih lewat daripada umur lima belas tahun. Para ilmuan berselisih pendapat adakah terdapat batas umur tertentu bagi permulaan haid untuk wanita. Mereka juga berselisih pendapat sama ada darah yang datang sebelum atau selepas batas umur tersebut adalah darah haid atau darah penyakit? Selepas menyebut perselisihan pendapat ini, Imam al-Darimi rahimahullah membuat kesimpulan berikut:

Semua pendapat ini adalah saya menurut saya. Ini kerana rujukan kepada semua persoalan ini adalah kepada wujud (darah yang mengalir keluar). Maka pada setiap umur dan keadaan jika didapati (wujud darah yang mengalir keluar) maka wajib mengkategorikan ia sebagai (permulaan) haid. Allah sahaja yang lebih mengetahui.
[Dinukil oleh Imam al-Nawawi dalam Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 1, ms. 386]

Apa yang disimpulkan oleh Imam al-Darimi adalah pendapat yang benar.Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Maka apabila seorang wanita melihat darah haid mengalir keluar maka bermakna dia telah didatangi haid sekalipun umurnya sembilan tahun ataupun lebih daripada lima puluh tahun. Ini kerena hukum-hukum haid yang ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya adalah atas wujudnya (haid). Allah serta Rasul-Nya tidak membataskan umur tertentu dalam persoalan ini. Menentukan batas umur tertentu memerlukan dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, padahal tidak ada sebarang dalil
berkenaannya (dalam dua sumber tersebut).

Para ilmuan juga berbeza pendapat dalam persoalan tempoh haid atau kadar masanya. Terdapat enam atau tujuh pendapat dalam persoalan ini. Berkata Imam Ibn al-Munzir rahimahullah:

Menurut satu pendapat: Tidak ada batas bilangan hari bagi tempoh minima
atau maksima (haid).

Ini adalah sepertimana pendapat Imam al-Darimi yang lalu dan ia adalah pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah. Ini adalah pendapat yang benar kerana didokongi oleh al-Qur’an dan al-Sunnah serta pemikiran yang sihat. Sebab-sebabnya seperti berikut:

Pertama:

Firman Allah Ta’ala:

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai
(hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang mendatangkan
mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan
(jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu,
dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka
suci. [al-Baqarah 2:222]

Dalam ayat di atas Allah menjadikan “suci” sebagai syarat penyudah kepada tegahan. Allah tidak menjadikan tempoh sehari semalam, tiga hari atau lima belas hari sebagai syarat penyudah tegahan. Ini menunjukkan bahawa sebab timbulnya hukum ialah bermula dan berakhirnya haid, sehingga apabila suci daripada haid maka hilanglah hukum-hukum yang berkaitan dengan haid.

Kedua:

Dalam Shahih Muslim tercatit sebuah hadis yang sahih di mana Rasulullah
shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada ‘A’isyah radhiallahu ‘anha yang di saat
itu sedang berihram untuk umrah dan didatangi haid: Petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan Haid, Istihadah dan Nifas.
“Lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang berhaji kecuali jangan
kamu bertawaf di al-Bait (Ka’abah) sehingggalah kamu suci.” ‘A’isyah
berkata: “Maka pada hari menyembelih aku telah suci….” [Shahih Muslim – no:
1211 (Kitab al-Haj)]

Dalam Shahih al-Bukhari Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda
kepada ‘A’isyah radhiallahu ‘anha:
“Tunggulah maka apabila kamu telah suci maka keluarlah ke Tan’im.”
[Shahih al-Bukhari – no: 1787 (Kitab al-Haj)]

Dalam hadis di atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjadikan “suci” sebagai syarat penyudah tegahan. Baginda tidak menetapkan apa-apa batas masa atau tempoh tertentu. Ini membuktikan bahawa hukum haid ditentukan dengan bermula dan berakhirnya haid.

Ketiga:

Sesungguhnya perkiraan tempoh masa (minima dan maksima bagi) haid yang dilakukan oleh (sebahagian) ahli fiqh tidak terdapat dalilnya di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Padahal ini adalah persoalan penting yang sangat berhajat kepada penetapan daripada dua sumber tersebut. Seandainya penetapan tempoh ini termasuk daripada hukum fiqh bagi umat beribadat kepada Allah, nescaya Allah dan Rasul-Nya secara terang dan jelas akan menerangkannya. Ini sebagaimana hukum-hukum fiqh yang lain seperti solat, puasa, nikah, talak, pesaka dan sebagainya. Allah dan Rasul-Nya telah memperincikan bilangan solat, waktu-waktunya, rukuknya dan sujudnya; Zakat, harta-hartanya, nisab-nisabnya, kadarnya dan tempat ditunaikannya; Puasa, tempoh dan waktunya; Haji dan seterusnya. Allah dan Rasul-Nya juga telah memperincikan adab-adab makan, minum, tidur, jima’, duduk, masuk-keluar rumah, membuang hajat sehinggalah kepada bilangan batu-batu untuk beristinjak dan pelbagai lagi perkara-perkara kecil yang
lain. Ini semua termasuk kesempurnaan agama Allah dan nikmat-Nya ke atas orang-orang yang beriman. Firman Allah:

Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap
sesuatu. [al-Nahl 16:89]

Bukanlah ia (al-Qur’an) cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia
mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab agama yang terdahulu
daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu.
[Yusuf 11:111]

Apabila perkiraan tempoh masa (minima dan maksima bagi) haid tidak terdapat dalam kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, jelaslah bahawa ia sebenarnya tidak berhajat kepadanya. Yang dihajatkan, atau yang dijadikan syarat ialah kewujudan haid itu sendiri pada seorang wanita. Hukum-hukum syari’at bergantung kepada wujud atau tidaknya haid, bukan tempoh masa haid. Dalam ertikata lain, tidak wujudnya hukum perkiraan tempoh masa (minima dan maksima bagi) haid di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah menjadi bukti bahawa perkiraan tersebut tidak memberi apa-apa manfaat atau ilmu. Sesungguhnya segala hukum syara’ tidak boleh ditetapkan melainkan dengan dalil dari syara’ sendiri iaitu daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, atau ijma’ (kesepakatan) yang maklum (diketahui) atau qiyas (analogi) yang sahih. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menyebut sebuah kaedah yang amat penting: Dari apa yang dikenali sebagai haid, Allah telah kaitkan dengannya beberapa hukum dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Allah tidak menentukan baginya tempoh masa minima dan tempoh masa maksima. Allah juga tidak menentukan tempoh masa suci antara dua haid. Sedangkan perkara-perkara ini adalah umum terhadap umat dan mereka berhajat untuk mengetahuinya. Dari sudut bahasa, ia (al-Qur’an dan al-Sunnah) tidak membezakan antara satu tempoh dengan satu tempoh yang lain. Maka sesiapa yang menentukan satu tempoh tertentu maka sesungguhnya dia menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah. [al-Risalah fi al- Asma’ allati ‘Alaq al-Syar‘i al-Ahkam biha, ms 35]

Keempat:

Pemikiran yang sihat berdasarkan qiyas (analogi) yang sahih akan mengetahui bahawa Allah Ta‘ala menjadikan haid sebagai satu bentuk kotoran. Faktor penyebab hukum (‘illah) bagi haid ialah kotoran. Maka apabila sahaja didapati wujud haid maka wujudlah kotoran tanpa dibezakan antara hari kedua dan hari pertama, hari keempat dan hari ketiga, hari keenam belas dan hari kelima belas, hari kelapan belas dan hari ketujuh belas. Justeru haid tetap haid, kotoran tetap kotoran, dan ‘illah (faktor penyebab hukum) tetap sama pada dua hari tersebut. Maka bagaimana mungkin dibezakan hukum antara dua hari tersebut sedangkan faktor penyebabnya adalah sama? Ini menyalahi qiyas yang sahih kerana faktor penyebab yang sama akan menyamakan hukum antara dua hari tersebut.

Kelima:

Wujud perselisihan pendapat di kalangan orang-orang yang membataskan tempoh tertentu dan tiada satu jua di antara pendapat-pendapat ini yang kuat hujahnya. Ini disebabkan di antara pendapat-pendapat ini, tidak ada dalil yang dijadikan sumber rujukan. Ia adalah ijtihad yang terbuka kepada kebenaran dan kesalahan sehingga tidak ada satu di antaranya yang terlebih utama untuk diikuti.
Tempat rujukan ketika berlaku perselisihan ialah al-Qur’an dan al-Sunnah. Jelas daripada dua sumber ini bahawa tidak ada pembatasan tempoh minima dan maksima haid.

Oleh itu apabila seorang wanita mendapati darah mengalir keluar secara fitrah tanpa disebabkan luka atau seumpama, maka ia adalah darah haid tanpa ditetapkan umur atau tempoh masanya. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah:

Pada asalnya setiap darah yang mengalir keluar dari rahim adalah darah haid
sehinggalah ada bukti yang menunjukkan ia adalah darah istihadah.

Katanya lagi:

Apa-apa darah yang keluar ialah darah haid jika tidak diketahui bahawa ia
adalah darah istihadah atau luka. [al-Risalah fi al-Asma’ allati ‘Alaq al-Syar‘i al-
Ahkam biha, ms. 36 & 38]

Lima sebab di atas menjadi hujah bahawa tidak ada penetapan tempoh minima dan maksima bagi haid. Hujah-hujah ini bukan sahaja benar dari sudut dalil al-Qur’an, al-Sunnah dan pemikiran yang benar, tetapi juga mudah selari dengan ruh Islam. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan
susah payah dalam perkara agama. [al-Hajj 22:78]

Sabda Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam:
“Sesungguhnya agama adalah mudah, dan tidak seorang pun yang
memberat-beratkan urusan agama melainkan ia menewaskannya2, maka
hendaklah kamu semua membuat yang betul dan menghampirkan kepada
kebenaran dan memberi berita gembira.” [Shahih al-Bukhari – no: 39 (Kitab al-
Iman)]

Dikenali daripada akhlak Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam bahawa apabila diberi dua pilihan, Baginda akan memilih yang paling mudah antara keduanya selama mana tidak melibatkan dosa.