Posts from the ‘tokoh islam’ Category

IBNU SINA – TOKOH PERUBATAN ISLAM.


Latar Belakang Ibnu Sina

IBNU SINA yang lebih dikenali di Barat dengan nama Avicenna mempunyai nama lengkap Abu Ali al- Huseyn bin Abdullah bin Hassan Ali bin Sina. Beliau merupakan seorang yang berbangsa Parsi. Menurut Ibnu Abi Ushaybi’ah ia lahir pada tahun 375 H, di desa Afshanah dekat kota Kharmaitan Propinzi Bukhara Afghanistan.

Pelajaran pertama yang diterimanya pada zaman kanak-kanak adalah Al-Quran dan sastera yang didapati olehnya secara tidak formal. Ia mula belajar pada usia 5 tahun. Sementara itu sewaktu berumur 10 tahun , beliau telah berjaya menghafal Al-Quran. Pada masa umurnya meningkat 18 tahun Ibnu Sina telah menjadi “Doktor Di Raja”. Disamping itu, Ibnu Sina jiga telah menguasai seluruh cabang ilmu pengetahuan yang ada pada waktu itu. Ilmu-ilmu agama seperti tafsir, fiqh, perbandingan agama (ushuluddin), tasawuf dan sebagainya sudah dikuasainya ketika baru berusia 10 tahun. Pada masa kecilnya, ia dibimbing dan dididik oleh Abu Abdullah Natili, seorang sahabat karib ayahnya, dan ayahnya sendiri. Antara bidang ilmu yang berjaya dikuasainya termasuklah dalam bidang falsafah, kedoktoran, geometri, astronomi, muzik, syair, teologi, politik, matematik, fizik, kimia, sastera dan kosmologi.

Ensiklopedia Kedoktoran Pertama

Pada usia 21 tahun, ketika berada di Kawarazm, ia mulai menulis karyanya yang pertama yang berjudul “Al-Majmu” yang mengandungi berbagai ilmu pengetahuan yang lengkap.Kemudian ia melanjutkan menulis buku-buku lain.Nama-nama buku yang pernah dikarang Ibnu Sina, termasuk yang berbentuk risalah ukuran kecil, dimuat dan di himpun dalam satu buku besar yang berjudul “Essai de Bibliographie Avicenna” yang dihasilkan oleh Pater Dominican di Kairo.Antara yang terkandung dalam buku tersebut termasuklah buku karangan yang amat terkenal iaitu Al-Qanun Fit – Tibb.

Teori-Teori Anatomi Dan Fisiologi

Teori-teori anatomi dan fisiologi dalam buku-buku beliau adalah menggambarkan analogi manusia terhadap negara dan mikrokosmos (dunia kecil) terhadap alam semester sebagai makrokosmos (dunia besar).Misalnya digambarkan bahawa syurga kayangan adalah bulat dan bumi adalah persegi dan dengan demikian kepala itu bulat dan kaki itu empat persegi. Terdapat empat musim dan 12 bulan dalam setahun, dengan itu manusia memiliki empat tangkai dan lengan (anggota badan) mempunyai 12 tulang sendi. Hati (heart) adalah ‘pangeran’-nya tubuh manusia, sementera paru-paru adalah ‘menteri’-nya. Leher merupakan ‘jendela’-nya sang badan, manakala kandung empedu sebagai ‘markas pusat’-nya. Limpa dan perut sebagai ‘bumbung’ sedangkan usus merupakan sistem komunikasi dan sistem pembuangan.

Sementara itu “Canon of Medicine” memuatkan pernyataan yang tegas bahawa “darah mengalir secara terus-menerus dalam suatu lingkaran dan tak pernah berhenti” . Namun ini belum dapat dianggap sebagai suatu penemuan tentang srikulasi darah, kerana bangsa cina tidak membezakan antara urat-urat darah halus (Veins) dengan pembuluh nadi (arferies). Analogi tersebut hanyalah analogi yang digambarkan antara gerakan darah dan siklus alam semesta, pergantian musim dan gerakan-gerakan tubuh tanpa peragaan secara empirik pada keadaan yang sebenarnya.

Pengaruh Ibnu Sina (Avicenna)

Pengaruh Ibnu Sina sebagai seorang failasuf dan doktor perubatan dalam kebudayaan Eropah adalah luas. Buku karangannya al-Qanun Fit- Tibb (Peraturan Perubatan) terdiri daripada 14 jilid, telah dianggap sebagai himpunan perbendaharaan ilmu perubatan. Ilmu perubatan moden banyak mendapat pelajaran daripada Ibnu Sina, dari segi pengunaan ubat, diagnosis dan pembedahan.

Terjemahan Dan Bahan Rujukan al-Qanun Fit- Tibb

Pada abad ke 12 M Gerard Cremona yang berpindah ke Toledo, Sepanyol telah menterjemahkan buku Ibnu Sina ke bahasa Latin. Buku ini menjadi buku rujukan utama di universiti-universiti Eropah hingga 1500 M. Bukunya telah disalin (cetak ) sebanyak 16 kali dan 15 edisi dalam bahasa Latin dan sebuah edisi dalam bahasa Yahudi (Hebrew).Disamping itu buku tersebut turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Perancis , Sepanyol dan Itali . Pada abad ke 16 M , buku ini dicetak 21 kali.

Al-Qanun Fit-Tibb juga digunakan sebagai buku teks kedoktoran di berbagai universiti di Perancis. Misalnya di Sekolah Tinggi Kedoktoran Montpellier dan Louvin telah menggunakannya sebagai bahan rujukan pada abad ke 17 M. Sementara itu Prof. Phillip K. Hitpi telah menganggap buku tersebut sebagai “Ensiklopedia Kedoktoran”.

Penulis- penulis Barat telah menganggap Ibnu Sina sebagai ‘Bapa Doktor’ kerana Ibnu Sina telah menyatupadukan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen dan pengalaman dari ahli-ahli perubatan dari India dan Parsi dan pengalaman beliau sendiri.

Perintis Pengenalan Penyakit Saraf

Al- Qanun Fit-Tibb telah membincangkan serta mengenegahkan mengenai penyakit saraf. Buku tersebut juga telah mengajar mengenai cara-cara pembedahan dimana telah menekankan keperluan pembersihan luka. Malahan di dalam buku-buku tersebut juga dinyatakan keterangan –keterangan dengan lebih jelas di samping hiasan gambar-gambar dan sketsa-sketsa yang sekaligus menunjukkan pengetahuan anatomi Ibnu Sina yang luas.

Ibnu Sina- Sebagai Seorang Doktor.

Ibnu Sina pernah di beri gelaran sebagai “Medicorum Principal” atau “Raja Diraja Doktor” oleh kaum Latin Skolastik. Antara gelaran lain yang pernah diberikan kepadanya adalah sebagai “Raja Ubat”. Malahan dalam dunia Islam, ia dianggap sebagai “Zenith”, puncak tertinggi dalam ilmu kedoktoran . Ibnu Sina menjadi “Doktor Di Raja” iaitu doktor kepada Sultan Nuh 11 bin Mansur di Bukhara pada tahun 378 H/ 997 M iaitu ketika beliau berusia 18 tahun. Pada waktu itu penyakit sultan dalam keadaan parah dan tidak ada doktor lain yang berjaya mengubati baginda. Akan tetapi berkat pertolongan Ibnu Sina baginda kembali pulih.

Penemuan-Penemuan Baru

Ibnu Sina dikenali sebagai seorang saintis yang banyak memberikan saham terhadap dunia ilmu pengetahuan melalui penemuan-penemuan barunya. Antara sumbangan beliau adalah di dalam bidang geografi, geologi, kimia dan kosmologi.

Bidang Geografi

Ibnu Sina merupakan seorang ahli geografi yang mampu menerangkan bagaimana sungai-sungai berhubungan dan berasal dari gunung-ganang dan lembah-lembah. Malahan ia mampu mengemukakan suatu hipotesis atau teori pada waktu itu di mana gagal dilakukan oleh ahli Yunani dan Romani sejak dari Heredotus, Aristoteles sehinggalah Protolemaious. Menurut Ibnu Sina “ gunung-ganang yang memang letaknya tinggi iaitu lingkungan mahupun lapisannya dari kulit bumi, maka apabila ia diterajang lalu berganti rupa dikarenkan oleh sungai-sungai yang meruntuhkan pinggiran-pinggirannya. Akibat proses seperti ini, maka terjadilah apa yang disebut sebagai lembah-lembah.”

Bidang Geologi, Kimia Dan Kosmologi

Sumbangan Ibnu Sina dalam bidang geologi , kimia serta kosmologi memang tidak dapat di sangsikan lagi. Menurut A.M.A shushtery, karangan Ibnu Sina mengenai ilmu pertambangan (mineral) menjadi sumber geologi di Eropah. Dalam bidang kimia , ia juga meninggalkan penemuan-penemuan yang bermanafaat . Menurut Reuben Levy, Ibnu Sina telah menerangkan bahawa benda-benda logam sebenarnya berbeza antara satu dengan yang lain. Setiap logam terdiri dari berbagai jenis. Penerangan tersebut telah memperkembangkan ilmu kimia yang telah dirintis sebelumnya oleh Jabbir Ibnu Hayyan , Bapa Kimia Muslim. Sebahagian daripada karyanya yang dapat dicatat disini adalah daripada :

1.Bidang logika “Isaguji”, “The Isagoge”, ilmu logika Isagoge.

2.Fi Aqsam al-Ulum al-Aqliyah (On the Divisions of the Rational Sciences) tentang pembahagian ilmu-ilmu rasional.

3.Bidang metafizika , “Ilahiyyat” (Ilmu ketuhanan)

4.Bidang psikologi , “Kitab an-Nayat” (Book of Deliverence) buku tentang kebahagiaan jiwa.

5. Fiad-Din yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin menjadi “Liber de Mineralibus” yakni tentang pemilikan (mimeral).

6.Bidang sastera arab “Risalah fi Asab Huduts al-Huruf” ,risalah tentang sebab-sebab terjadinya huruf.

7.Bidang syair dan prosa “Al-Qasidah al- Aniyyah” syair-syair tentang jiwa manusia.

8.Cerita-cerita roman fiktif , “Risalah ath-Thayr” cerita seekor burung.

9.Bidang politik “Risalah as-Siyasah” (Book on Politics) – Buku tentang politik.

Sumbangan Ibnu Sina

Ibnu Sina telah memperkembangkan ilmu psikologi dalam perubatan dan membuat beberapa perjumpaan dalam ilmu yang dikenali hari ini sebagai ilmu perubatan psikosomatics “psychosomatic medicine”. Beliau memperkembangkan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung (pulse diagnosis) untuk mengenal pasti dalam masa beberapa detik sahaja ketidak – seimbangan humor yang berkenaan . Diagnosis melalui denyutan jantung ini masih dipratikkan oleh para hakim (doktor-doktor muslim) di Pakistan, Afghanistan dan Parsi yang menggunakan ilmu perubatan Yunani. Seorang doktor tabii dari Amerika (1981) melapurkan bahawa para hakim di Afghanistan, China, India dan Parsi sanggat berkebolehan dalam denyutan jantung di tempat yang dirasai tetapi mutunya yang pelbagai .Ini merangkumi :

  1. Kuat atau denyutan yang lemah.
  2. Masa antara denyutan.
  3. Kandungannya lembap di paras kulit dekat denyutan itu dan lain-lain lagi.

Dari ukuran-ukuran denyutan jantung seseorang hakim mungkin mengetahui dengan tepat penyakit yang dihinggapi di dalam tubuh si pesakit.

Ibnu Sina menyedari kepentingan emosi dalam pemulihan. Apabila pesakit mempunyai sakit jiwa disebabkan oleh pemisahan daripada kekasihnya , beliau boleh mendapati nama dan alamat kekasihnya itu melalui cara berikut:

Caranya adalah untuk menyebut banyak nama dan mengulanginya dan semasa itu jarinya diletakkan atas denyutan (pulse) apabila denyutan itu terjadi tidak teratur atau hampir-hampir berhenti , seseorang itu hendaklah mengulang proses tersebut. Dengan cara yang sedemikan , nama jalan , rumah dan keluarga disebutkan. Selepas itu , kata Ibnu Sina “Jika anda tidak dapat mengubat penyakitnya maka temukanlah si pesakit dengan kekasihnya , menurut peraturan syariah maka buatlah”.(Terjemahan). Ibnu Sina adalah doktor perubatan yang pertama mencatatkan bahawa penyakit paru-paru (plumonary tuberculosis) adalah suatu penyakit yang boleh menjangkit (contagious) dan dia menceritakan dengan tepat tanda-tanda penyakit kencing manis dan masalah yang timbul darinya. Beliau sangat berminat dalam bidang mengenai kesan akal (mind) atas jasad dan telah banyak menulis berkenaan gangguan psikologi.

Beliau telah menghasilkan 250 buah karya dan masih kekal hingga ke hari ini dan termasuklah 116 buah karyanya dalam bidang “Ilmu Perubatan. Banyak karyanya ditulis dalam bahasa Arab dan juga beberapa dalam bahasa Parsi. “Qanun Fitt Tibb” adalah karyanya yang termasyur , paling selalu dicetak di Eropah pada zaman “Renaissance”. Karya Qanun itu telah mempunyai pengaruh yang asas dalam ilmu perubatan di Eropah pada zaman Renaissance dan telah menjadi buku rujukan yang utama di universiti-universiti Eropah hingga ke abad 17 M.

Penutup

Ibnu Sina meniggal dunia di Hamdan ,dalam usia 58 tahun pada bulan Ramadhan 428 H/1037 M .Ia dimakamkan di sana. Dalam rangka memperingati 1000 tanun hari kelahirannya (Fair Millenium) di Tehran pada tahun 1955 M ia telah dinobatkan sebagai “Father of Doctor” untuk selamanya-selamanya , dan di sana (Tehran) telah dibangunkan sebuah monemun sejarah untuk itu. Makam beliau di Hamdan telah di kelilingi oleh makam-makam doktor islam yang lain. Hal ini menyebabkan ahli-ahli ilmu yang terkemudian merasa megah kalau dimakamkan di tanah perkuburan di mana “zeninth” itu dimakamkan.

-Ibnu Rusyd-

Ibnu Rusyd atau nama lengkapnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad lahir di Kardova pada tahun 1126. Beliau ahli falsafah yang paling agung pernah dilahirkan dalam sejarah Islam. Pengaruhnya bukan sahaja berkembang luas didunia Islam, tetapi juga di kalangan masyarakat di Eropah. Di Barat, beliau dikenal sebagai Averroes.

Keturunannya terdiri daripada golongan yang berilmu dan ternama. Bapanya dan datuknya merupakan kadi di Kardova. Oleh itu, beliau telah dihantar untuk berguru dengan Ibnu Zuhr yang kemudiannya menjadi rakan karibnya.

Ibnu Rusyd mempelajari ilmu fiqh dan perubatan daripada rakannya yang juga merupakan tokoh perubatan yang terkenal di Sepanyol, Ibnu Zuhr yang pernah bertugas di sebagai doktor istana di Andalusia.

Sebelum meninggal dunia, beliau telah menghasilkan bukunya yang terkenal Al Taysir. Buku itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa Inggeris dengan judul Faclititation of Treatment.

Selain menjalin perhubungan yang akrab dengan Ibnu Zuhr, Ibnu Rusyd juga mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Islam Muwahidin. Hubungan ini telah membolehkan Ibnu Rusy dilantik sebagai hakim di Sevilla pada tahun 1169. Dua tahun kemudian, beliau dilantik menjadi hakim di Kardova.

Selepas beberapa waktu menjadi hakim, beliau dilantik sebagai doktor istana pada tahun 1182 berikutan persaraan Ibn Tufail. Ramai yang berasa cemburu dan dengki dengan kedudukan Ibnu Rusyd. Kerana desakan dan tekanan pihak tertentu yang menganggapnya sebagai mulhid, beliau dibuang ke daerah Alaisano.

Setelah selesai menjalani tempoh pembuangannya, beliau pulang semula Kardova. Kehadirannya di Kardova bukan sahaja tidak diterima, tetapi beliau telah disisihkan oleh orang ramai serta menerima pelbagai penghinaan daripada masyarakatnya.

Pada lewat penghujung usianya, kedudukan Ibnu Rusyd dipulihkan semula apabila Khalifah Al-Mansor Al-Muwahhidi menyedari kesilapan yang dilakukannya. Namun, segala kurniaan dan penghormatan yang diberikan kepadanya tidak sempat dikecapi kerana beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1198.

Kematiannya merupakan kehilangan yang cukup besar kepada kerajaan dan umat Islam di Sepanyol. Beliau tidak meninggalkan sebarang harta benda melainkan ilmu dan tulisan dalam pelbagai bidang seperti falsafah, perubatan, ilmu kalam, falak, fiqh, muzik, kaji bintang, tatabahasa, dan nahu.

Antara karya besar yang pernah dihasilkan oleh Ibnu Rusyd termasuklah “Kulliyah fit-Thibb” yang mengandungi 16 jilid, mengenai perubatan secara umum, Mabadil Falsafah (Pengantar Ilmu Falsafah), Tafsir Urjuza yang membicarakan perubatan dan tauhid, Taslul, buku mengenai ilmu kalam, Kasyful Adillah, yang mengungkap persoalan falsafah dan agama, Tahafatul Tahafut, ulasannya terhadap buku Imam Al-Ghazali yang berjudul Tahafatul Falaisafah, dan Muwafaqatil Hikmah Wal Syari’a yang menyentuh persamaan antara falsafah dengan agama.

Siri karya tulisan tersebut menunjukkan betapa penguasaan Ibnu Rusyd dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu begitu ketara sekali sehingga usaha untuk menterjemahkan tulisan beliau telah dilakukan ke dalam bahasa lain. Buku “Kulliyah fit-Thibb” telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada tahun 1255 oleh Bonacosa, orang Yahudi dari Padua.

Kemudian buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul General Rules of Medicine. Hasil pemikiran yang dimuatkan dalam tulisannya, terutamanya dalam bidang falsafah, telah mempengaruhi ahli falsafah Barat. Dua orang ahli falsafah Eropah, iaitu Voltaire dan Rousseau dikatakan bukan sekadar terpengaruh oleh falsafah Ibnu Rusyd, tetapi memperolehi ilham daripada pembacaan karyanya.

Pemikiran Voltaire dan Rousseau telah mencetuskan era Renaissance di Perancis sehingga merobah wajah Eropah keseluruhannya sebagaimana yang ada pada hari ini. Masyarakat Barat sebenarnya terhutang budi kepada Ibnu Rusyd keranapemikirannya, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, telah mencetuskan revolusi di benua Eropah.

Pemikirannya memungkinkan masyarakat di sana keluar daripada zaman kegelapan menuju era kemajuan industri yang pesat. Hospital Les Quinze-Vingt yang juga merupakan hopital pertama di Paris didirikan oleh Raja Louis IX berdasarkan model hospital Sultan Nuruddin di Damsyik yang kaedah perubatannya merupakan hasil daripada idea dan pemikiran Ibnu Rusyd.

Ibnu Rusyd juga telah menulis sebuah buku mengenai muzik yang diberi judul “ada Anima Aristoteles” (Commentary on the Aristotle’s ada Animo). Hasil karyanya ini membuktikan betapa Ibnu Rusyd begitu terpengaru dan tertarik oleh ilmu logik yang dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani, Aristotle.

Pembicaraan falsafah Ibnu Rusyd banyak tertumpu pada persoalan yang berkaitan dengan metafizik, terutamanya ketuhanan. Beliau telah mengemukakan idea yang bernas lagi jelas, dan melakukan pembaharuan semasa membuat huraianya mengenai perkara tersebut.

Pembaharuan ini dapat dilihat juga dalam bidang perubatan apabila Ibnu Rusyd memberi penekanan tentang kepentingan menjaga kesihatan. Beberapa pandangan yang dikemukakan dalam bidang perubatan juga didapati mendahului zamannya. Beliau pernah menyatakan bahawa demam campak hanya akan dialami oleh setiap orang sekali sahaja.

Kehebatannya dalam bidang perubatan tidak berlegar di sekitar perubatan umum, tetapi juga merangkum pembedahan dan fungsi organ di dalam tubuh manusia.

Ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Ibnu Rusyd turut menjangkau bidang yang berkaitan dengan kemasyarakatan apabila beliau cuba membuat pembahagian masyarakat itu kepada dua golongan iaitu golongan elit yang terdiri daripada ahli falsafah dan masyarakat awam.

Pembahagian strata sosial ini merupakan asas pengenalan pembahagian masyarakat berdasarkan kelas seperti yang dilakukan oleh ahli falsafah terkemudian, seperti Karl Max dan mereka yang sealiran dengannya.

Apabila melihat keterampilan Ibnu Rusyd dalam pelbagai bidang ini, maka tidak syak lagi beliau merupakan tokoh ilmuwan Islam yang tiada tolok bandingannya. Malahan dalam banyak perkara, pemikiran Ibnu Rusyd jauh lebih besar dan berpengaruh jika dibandingkan dengan ahli falsafah yang pernah hidup sebelum zamannya ataupun selepas kematiannya.

Syeikh Ahmad Yassin kekal dalam memori…

Sheikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampung bernama Al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938. Beliau telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin,beliau dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.


Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya beliau amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif di zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa kemalangan, dimana beliau telah terjatuh ketika sedang beriadah yang menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya.

Keadaannya yang lumpuh itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan kecemerlangannya di dalam bidang pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti Islam. Pada tahun 1964 beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams di Kaherah. Pengajiannya di universiti tersebut walaubagaimanapun tidak sampai ke penghujungnya apabila beliau telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam pertubuhan tersebut untuk memperjuangkan Islam dan dakwah islamiyyah.

Kepulangannya ke Gaza telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif memperjuangkan Islam sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di masjid Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

Selain daripada dua tugas utama tersebut, Semenanjung Gaza juga telah menyaksikan jasa Ahmad Yassin sebagai pekerja kebajikan dan juga pendakwah yang gigih mendidik anak-anak remaja dan para pemuda dengan didikan Islam. Hasil dari usaha tersebut sekitar tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang hebat di kawasan Gaza. Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberikan nama Mujamma al-Islam.

Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja. Memandangkan keadaan di Palestin lebih memaksa umat Islam di sana untuk berjihad, beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai “Al-Mujahidun Al-Filastiniyyun” pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan “Kataib Syuyukh” yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka. Bagi Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak menghalang dirinya dari usaha mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan penjajah Zionis yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa.

Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis diatas tuduhan memiliki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO (Palestine Liberation Organization) dengan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.


Melihatkan kepada kondisi Negara-Negara Arab yang tidak lagi berminat untuk memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap lunak terhadap rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan Islam yang dikenali sebagai
HAMAS (Harakah Al Muqawamah Al Islamiyyah ) pada tahun 1987.

HAMAS telah memulakan corak baru penentangan cara baru, iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang dikenali dengan nama “Atfal Hijarah”(Kanak-kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis. Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini dikenali sebagai “Intifadah”. Kesan dari “Intifadah” ini amat hebat, pihak tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan-tindakan drastik sebagai tindak balas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.

Sebagai natijahnya, pada bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Tidak cukup sekadar itu sahaja, pada 18/5/1989 beliau bersama ratusan anggota pergerakan HAMAS yang lain telah dipenjarakan kerana kejayaan operasi-operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan tersebut dalam usaha membunuh tentera-tentera dan komando-komando Israel. Sekali lagi mahkamah tentera Israel pada 16/10/ 1991 telah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara ke atas Sheikh Ahmad Yassin di atas sembilan pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan juga menyerang tentera-tentera Zionis.

Kesan dari penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga hilang penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada masalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya. Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan juga hidapan pada abdomennya. Keadaan kesihatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara terpaksa membawanya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pada 13/12/1992 kumpulan komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan Sheikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur. Pihak rejim Zionis walaubagaimanapun menolak permintaan tersebut malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu mati dibunuh beserta dua tentera Zionis yang lain dan juga tiga pejuang Palestin telah mati syahid di tempat kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan kota Baitul Maqdis.

Pada 1/10/1997, hasil dari perundingan pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya dibebaskan. Kerajaan Jordan yang telah berjaya memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka gagal dalam percubaan untuk membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim Zionis telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Sheikh Ahmad Yassin dibebaskan.

Sejurus pembebasannya Sheikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis. September 2000 telah menyaksikan tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya. Sekali lagi Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat Palestin untuk bangun berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah yang paling teruk dalam 50 tahun penubuhan Negara haram Israel. Penentangan berlaku tiap-tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah. Hasilnya pelbagai usaha dilakukan oleh pihak rejim demi mengekang kemaraan rakyat Palestin. Antaranya menyerang bandar-bandar, membunuh orang-orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang-pejuang Palestin dan pemimpin-pemimpin mereka.

Hasil dari kegilaan tersebut, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah berjaya menemui syahid dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan juga kereta-kereta kebal mereka. Antaranya Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab dan lain-lain lagi. Sheikh Ahmad Yassin juga tidak terlepas dari usaha jahat tersebut, seperti yang berlaku pada 6 / 9 / 2003 bilamana sebuah helikopter Apache milih tentera Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Sheikh Ahmad Yassin, mujurlah beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Begitu juga apa yang dialami oleh Abdul Aziz Rantisi, orang nombor dua HAMAS yang telah dibedil keretanya ketika beliau di dalam perjalanan.

Namun, pada subuh 22 / 3 / 2004, mereka sekali lagi menyerang Sheikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang dari masjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah. Tiga buah roket telah dilancarkan ke atas Sheikh yang lumpuh itu telah mengorbankan Sheikh Ahmad Yassin dan empat yang lain termasuk anaknya.

Walaupun Sheikh Ahmad Yassin telah tiada untuk membangkitkan semangat jihad, namun beliau telah meninggal roh jihadnya buat para pejuang yang cintakan Islam dan mahukan bumi Palestin dibebaskan.

Zinnirah..Penyeri FIRDAUSI..

Kesabaran seseorang muslim dalam mempertahankan aqidah Islam ketika menghadapi suasana penindasan yang hebat merupakan contoh kesabaran yang agung. Pegangan aqidah yang bertunjangkan tauhid kepada Allah menjadi harta yang tiada ternila bagi setiap muslim. Ia adalah cahaya yang menyinari hidup insan dan penyelamat dalam mengharungi sengsara kacau-bilau pada hari pembalasan.

Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum muslimin dan muslimat dalam memepertahankan pegangan aqidah mereka. Sikap inilah yang membuahkan hasil yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam hinggalah ke hari ini. Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa setiap umat Islam.

Kisah seorang muslimat sejati bernama Zinnirah adalah antara contoh terunggul pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan aqidah yang telah meresap ke dalam lubuk hatinya. Beliau dipilih oleh Allah untuk menerima ujian yang cukup getir. Beliau menerima hidayah Allah pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara sembunyi-sembunyi di kalangan rakan karib baginda.

Dalam sejarah Islam, golongan yang pertama memeluk Islam inilah yang banyak menerima ujian daripada Allah. Zinnirah adalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom. Beliau telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya beliau telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba.

Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan seorang yang lemah, tetapi dari segi spiritualnya beliau mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah. Rasulullah S.A.W memulakan dakwahnya secara sembunyi-sembunyi di kalangan orang-orang tertentu termasuk golongan bawahan. Antara yang menerima cahya keimanan ini ialah Zinnirah. Beliau telah menerima dengan sepenuh hati.

Pada peringkat awak keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan islam secara sembunyi-sembunyi, takut diketahui tuannya, Umar Al-Khattab. Beliau bersolat, berzikir, membaca Al-Quran, berdoa kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semuanya dilakukan secara berhati-hati.

Penderitaan ke atas Zinnirah ini bermula setelah tuannya Umar Al-Khattab mengetahui keislamannya. Umar telah dapat menghidu perubahan yang berlaku ke atas diri hambanya itu. Setelah diselidiki, nyatalah bahawa hambanya meniggalkan agama nenek moyang dan menerima ajaran tauhid yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W.

Umar Al-Khattab cukup terkenal dengan sikap memusuhi Rasulullah dan agama Islam sebelum keislamannya. Beliau selalu mencerca Muhammad S.A.w. Beliau mencabar sahabat-sahabat yang telah memeluk Islam dengan sikap berani dan tegasnya itu. Beliau sanggup menanam anaknya perempuannya hidup-hidup kerana malu dipandang masyarakat. Dengan sifat keberanian inilah yang telah mendorong Rasulullah S.A.W berdoa agar salah seorang daripada dua Umar di Mekah supaya memeluk Islam.

Zinnirah menjadi mangsa awal di atas sikap kebencian Umar Al-Khattab terhadap Islam dan kaum Muslimin. Apalagi, teruklah Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Pelbagai seksaan dikenakan terhadap Zinnirah. Pukulan, hentakan, sepak terajang, dijemur di tengah-tengah panas terik adalh rutin kehidupan biasa Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan tenang dan sabar, di samping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah S.W.T.

Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila matanya dicucuk dengan besi panas. Beliau kehilangan kedua-dua matanya dan terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kegelapan. Matanya buta, tetapi hati dan jiwanya penuh dengan cahaya keimanan.

Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam kesengsaraan azab dari tuannya. “Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. Aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan.”

Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh.

Pengorbanan Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan Latta dan Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar dan Allah mengizinkan ianya berlaku.

Walaupun diuji dengan pelbagai rupa, keyakinannya kepada Allah tidak berubah. Allah memberi karamah kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali dengan karamah Allah S.W.T. Dia dapat menikmati semula keindahan ciptaan Allah S.W.T. Hatinya dengan penuh kesyukuran kepada Allah dan imannya semakin tinggi. Dengan taufiq hidayah Allah, Umar akhirnya memeluk Islam jua.

Wanitaku…

Perempuan-perempuan yang dilupakan…

Hari ini saya teringat kepada beberapa orang perempuan.

Hem…

Siapakah yang saya teringat itu?

Perempuan-perempuan ini, ada yang saya kenal masa tadika. Ada pula yang saya kenal masa sekolah rendah. Ada pula yang saya kenal masa sekolah menengah.

Apabila saya dewasa, saya berusaha memeriksa latar belakang perempuan-perempuan ini, dan mengkaji kehidupan mereka. Mudah cerita, saya suka dengan perempuan-perempuan ini sebenarnya. Pada saya, mereka amat bermakna dalam kehidupan saya.

Oleh kerana saya teringat akan mereka, maka saya ingin perkenalkan mereka kepada kalian.

Perempuan-perempuan ini, adalah perempuan-perempuan yang dilupakan.

Hari ini, perempuan melihat kepada siapa untuk mereka contohi?

Hari ini, lelaki akan memilih perempuan yang bagaimana untuk dijadikan isteri?

Hari ini, ibu bapa akan membesarkan anak perempuan mereka mengikut perempuan yang mana?

Hari ini, masyarakat akan mengangungkan perempuan yang bagaimana?

Hari ini, perempuan jenis apakah yang dikira sebagai mulia?

Hari ini, perempuan bagaimanakah yang lelaki puja?

Persoalan ini, anda boleh jawab sendiri di dalam hati, dengan melihat keadaan sekeliling kita. Anda akan melihat satu jawapan yang sama, walau di mana sahaja anda berada. Perempuan jenis ‘itu’. ‘Itu’ itu anda terjemahkan sendiri dengan pengamatan anda pada keadaan hari ini.

Kita lihat hari ini, masyarakat, baik lelaki atau perempuan, orang tua atau anak-anak, telah melupakan sebahagian perempuan-perempuan agung yang sepatutnya dijadikan contoh, qudwah untuk wanita-wanita seluruh dunia, sepanjang zaman. Sesungguhnya, figur-figur inilah yang mengusung panji ISLAM dalam kehidupan, seterusnya memuliakan diri mereka dengan kalimah ALLAH SWT.24493158743690l

Maka hari ini, saya nak memperingati perempuan-perempuan yang dilupakan oleh ummah ini.

Ramai manusia sudah melupakan Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid. Dialah yang digelar Afifah Solehah(wanita suci). Seorang wanita yang sanggup berkorban segala kekayaannya untuk membantu dakwah Rasulullah SAW. Dialah yang paling pertama beriman, tanpa meragukan seruan Rasulullah SAW. Dialah wanita, yang menenangkan suaminya yang ketakutan tanpa memperlekehkan. Dialah wanita, yang tegar bertahan susah senang bersama suaminya, sehingga nyawa ditarik ALLAH SWT. Bayangkan, dia adalah seorang yang kaya raya, hartawan, tetapi sanggup dipulau bersama Rasulullah SAW selama 3 tahun 3 bulan dan makan pucuk kayu sahaja hingga pecah-pecah mulut.

Ramai juga terlupa dengan Fatimah Az-Zahrah binti Rasulullah SAW. Dialah yang bertahan di sisi Rasulullah SAW ketika ayahandanya itu diseksa teruk. Tanpa kecewa, tanpa rasa hendak berputus asa, dia sentiasa membantu ayahandanya yang sering disakiti.Tangannya yang bersih dan suci itulah yang mencuci najis yang dibalingkan ke tubuh ayahandanya. Tangannya yang suci itulah yang membersihkan segala luka ayahandanya. Seorang wanita yang tabah, kuat menempuhi segala dugaan.

Ramai yang telah terlupa akan seorang wanita bernama Asiah. Dia adalah isteri kepada Firaun yang menentang Musa. ALLAH telah menjadikan bicara lembutnya menyelamatkan. Musa as dari dibunuh Firaun. ALLAH juga menjadikan dia antara yang beriman dengan seruan Musa as. Malah, ALLAH telah merakamkan namanya di dalam Al-Quran, dan menjanjikan kepadanya syurga atas balasan ketabahannya dalam mengharungi hidup bersama Firaun dan menerima segala seksaannya dalam mengekalkan deen ISLAM dalam dirinya.

Ramai pula yang tidak tahu berkenaan Masyitah. Dia adalah tukang penyisir rambut anak Firaun. Beriman kepada Allah SWT dan Nabi Musa, kemudian keimanannya diketahui oleh Firaun. Akhirnya dia bersama suami, serta anaknya yang masih bayi telah dicampakkan ke dalam kuali penuh minyak mendidih. Walaupun nyawa di hujung tanduk, imannya tidak tergadai, malah terjun dengan penuh keyakinan. Masyitah mati syahid mempertahankan imannya dari digadai.

Ramai juga yang telah terlupa kepada Si Suci Mayram, ibu kepada Isa as. Sang Perawan itu menjaga dirinya, mengabdikan diri dalam bilik yang terkunci, ALLAH memuliakannya dengan memilih Zakaria as sebagai penjaga. Maryam yang suci inilah dipilih ALLAH untuk mengandungkan Isa as. Apabila dia melahirkan Isa as dan ditohmah dengan pelbagai dugaan, dia bergantung kepada ALLAH, dan bersangka baik atas segala apa yang berlaku ke atasnya. Akhirnya anaknya Isa as boleh berbicara dan menyeru manusia sedari buaian.

Siapakah yang hendak mencontohi Nusaibah RAH? Ketika Perang Uhud, Nusaibah keluar memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi terdesak dan lari dari medan perang, cuma ada seratus orang sahaja yang tetap bertahan dan Nusaibah adalah salah seorang yang menghunuskan pedang serta memakai perisai bagi melindungi Rasulullah dari diserang musuh.Kesungguhan Nusaibah melindungi Rasulullah begitu hebat, hinggakan Rasulullah berkata, “Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu Imarah (Nusaibah) berperang dihadapanku.”Ketika itu, anaknya Abdullah luka parah ditikam musuh. Dia mengikat luka anaknya lalu berkata, “Bangun wahai anakku.” Anaknya itu terus bangun dan melawan tentera musuh.Rasulullah yang melihat peristiwa itu bersabda. “Wahai Ummu Imarah, siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan?”Ketika tentera musuh yang menikam anaknya itu menghampiri, Rasulullah berkata kepadanya, “Ini dia orang yang telah melukakan anakmu.” Nusaibah menghampiri orang itu dan menikam betisnya dengan pedang.“Ya, Ummu Imarah! Engkau berjaya membalasnya,” kata Rasulullah sambil tersenyum melihat kesungguhan Nusaibah Hatta Rasulullah SAW pun bersorak untuknya. Siapakah yanng mengingati Ummu Imarah ini?

Siapakah pula yang hendak menjadi seperti Ummu Sulaim? Dia berkahwin dengan Abu Talhah dengan mahar iman. Abu Talhah seorang kafir ketika itu, jatuh hati kepada Ummu Sulaim yang masih muslim. Ummu Sulaim berkata: “Jika hendak mengahwiniku, maka maharnya adalah iman”.Maka islamlah Abu Talhah. Sehingga ada sahabat yang berkata, “Aku belum pernah melihat seorang wanita sama sekali yang lebih mulia maskawinnya dibandingkan dengan maskawin Ummu Sulaim.”Malah, dia mentarbiyyah suaminya, sehingga suaminya menjadi seorang sahabat yang komited. Siapa yang tidak kenal dengan Abu Talhah? Dialah yang menyambut semua panahan yang ditujukan kepada Rasulullah SAW, pada hari Uhud dengan belakang tubuhnya. Lihatlah bagaiman Ummu Sulaim mentarbiyyah suaminya? Adakah lagi isteri yang sebegitu hari ini?

Siapakah pula yang mengingati isteri kedua Rasulullah SAW? Ummu Salamah. Bagaimana cerdiknya dia, bijaknya dia sehinggakan dia menjadi penasihat yang baik kepada Rasulullah SAW. Ketika peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, apabila Rasulullah mengarahkan semua sahabat-sahabatnya menyembelih haiwan dan bercukur rambut, tiada seorang pun yang bangkit menyahut arahannya. Rasulullah SAW hairan, lantas kembali ke khemah, lalu berkata di hadapan Ummu Salamah, “ Kenapakah berlaku begitu?” Ummu Salamah berkata, “ Jangan kau hiraukan mereka, cukurlah rambutmu, dan sembelihlah haiwanmu” Bila Rasulullah SAW melakukan, semua sahabat mengikuti.

Siapakah pula yang hendak mencontohi isteri Rasulullah SAW, Aisyah RA? Ketika peristiwa Hadith Ifki(kisah rekaan) berlaku, menumpahkan fitnah ke atasnya, mengotorkan namanya, dia tetap teguh, yakin kepada ALLAH SWT. Tiada sebentar pun dia bersangka buruk kepada ALLAH SWT bila ditimpa dugaan.

Siapakah pula yang mengingati Asma’ binti Abu Bakr? Dia digelar Zat An-Nitaqain kerana mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua untuk membawa makanan kepada Rasulullah SAW dan bapanya Abu Bakr RA ketika persembunyian di Gua Thur. Dialah juga yang dilempang oleh Abu Jahal sehingga tercabut subang di telinganya, kerana tidak mahu memberitahu posisi Rasulullah SAW dan bapanya ketika hijrah. Dialah juga yang mentarbiyyah anaknya, Abdullah Ibn Zubair RA, sehingga menjadi seorang sahabat
Rasulullah SAW yang berani.

Siapakah pula yang ingat kepada Khansa? Dia mempunyai empat orang anak. Dia mentarbiyyah empat orang anaknya dengan baik. Apabila mendapat seruan jihad, dihantarnya anaknya yang sulung. Anak sulungnya syahid. Dihantar pula yang kedua.Yang kedua juga syahid. Dihantar pula yang ketiga. Yang ketiga juga syahid. Begitu jugalah juga dia menghantar anaknya yang keempat, dan yang keempat itu pun syahid. Akhirnya dia menangis. Orang berkata, “ Khansa kesedihan kerana kehilangan semua anaknya” Tetapi tahukah kalian apakah jawapannya?

“ Diamlah kalian, sesungguhnya aku bersedih kerna aku tidak punya anak lagi untuk dihantar berjihad di jalan ALLAH”

Wahai perempuan hari ini, siapakah antara kamu yang mengingati mereka?

Wahai lelaki hari ini, siapakah antara kamu yang mengenang mereka?

Wahai ummah, hari ini perempuan mana yang kamu puja dan puji?

Oh masyarakat, hari ini perempuan bagaimana yang kamu sanjungi?

Oh perempuan, hari ini perempuan mana yang kamu ikuti dan contohi?

Oh lelaki, hari ini perempuan yang bagaimana kamu gila-gilai untuk jadikan isteri?

Siapa?

Sesungguhnya perempuan-perempuan dalam lipatan sirah ini telah dilupakan.

Mereka sememangnya perempuan-perempuan yang telah dilupakan.

Sedangkan pada diri mereka, terdapat kemuliaan yang tiada tandingan.

Dan hari in saya teringatkan perempuan-perempuan itu.