Posts from the ‘peringatan’ Category

Perlunya Syariah Islam..

Pertamanya marilah sama-sama kita menghuraikan makna syariah islam itu terlebih dahulu sebelum sama-sama kita menghayati dan mengetahui mengapa kita berhajat kepada syariah islam ini.. Syariah islam itu secara umumnya bermaksud himpunan suruhan dan juga hukum-hakam samada berbentuk iktikad atau amalan yang dilakukan oleh kita sebagai hamba Allah.. Dalam entri sebelumnya saya telah menghuraikan perbezaan antara syariah islam dan fiqh islami..jadi saya tidak perlu untuk menghuraikan makna syariah ini dengan lebih panjang lagi.. Dalam entri ini saya akan mendatangkan 3 kepentingan atau tujuan mengapa perlunya syariah islam ini dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah..

Membebaskan pemikiran manusia daripada perhambaan kepada taklid dan khurafat.

Bagaimanakah dikatakan syariah islam ini dapat membebaskan kita daripada perhambaan kepada taklid dan khurafat? Tidak lain tidak bukan jawapannya adalah melalui jalan akidah..Iaitu dengan cara beriman dengan Allah yang satu, tiada Tuhan selainNya.. dengan adanya akidah ini maka kita akan terlepas daripada perhambaan kepada perkara-perkara taklid ( ikutan ) seperti menyembah pokok apabila kita meihat mereka-mereka yang menyembah pokok, atau menyembah lembu apabila kita melihat mereka-mereka yang menyembah lembu dan sebagainya.. Dan kita juga terlepas daripada mempercayai perkara-perkara yang khurafat..yang diceritakan secara turun-temurun daripada satu generasi ke satu generasi yang lain oleh nenek moyang kita.. dari sini kita dapat melihat betapa pentingnya dan berhajatnya kita sebagai manusia yang lemah kepada petunjuk dan syariah islam yang telah ditetapkan oleh Allah..

Menjadi individu yang baik dirinya dan akhlaknya.

Yang kedua adalah untuk menjadikan kita sebagai seorang manusia yang baik dari segi diri ( penampilan/ karekterisitik ) dan juga baik akhlaknya.. Cuba kita bayangkan andai tiada gesaan didalam Al-Quran mahupun hadis baginda (s.a.w.) menyeru manusia agar menutup aurat mereka..Walaupun tidak dapat dinafikan sekarang ini kita dapat lihat betapa teruknya pemakaian umat islam khususnya pada zaman ini..Dan daripada ini terjadinya pelbagai masalah lain seperti zina, rogol, raba dan sebagainya.. Adakah perkara-perkara seperti ini akan berlaku sekiranya semua umat islam khususnya mengikut apa yang telah disyariahkan oleh Allah.? Dan didalam hadis Rasulullah (s.a.w) ada menyatakan bahawa ‘ sesunggunhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak ‘..jika kita melihat kepada zahir hadis ini, akhlak memaunkan peranan penting dalam pembangunan ummah.. tanpa akhlak maka masyarakat akan menjadi huru-hara..dan tanpa masyarakat negara tidak dapat disatukan..dan tanpa negara ummah tidak dapat disatukan..dan tanpa ummah kita akan dipandang rendah oleh golongan yang ingin menjatuhkan islam.

Membina masyarakat yang baik.

Tujuan yang ketiga adalah bagi membentuk satu masyarakat yang baik dan mulia..Seperti yang saya katakan, tanpa peribadi yang baik maka masyarakat yang baik tidak dapat dibentuk.. Marilah kita kembali kepada Zaman Rasulullah, masyarakat yang agung dapat dibentuk melalui syariah islam ini..mereka mengamalkan syariah yang diturunkan kepada mereka..Tetapi cuba kita lihat zaman kita sekarang ini..betapa banyaknya anak luar nikah yang dilahirkan dan dibuang tanpa ada rasa sedikit pun rasa belas kasihan kepada bayi yang dilahirkan..adakah masyarakat seperti ini yang kita mahukan..cuba kita fikirkan sejenak adakah perkara seumpama ini akan berlaku jika sekiranya kita mengikut syariah yang telah Allah tetapkan kepada kita..tentu sekali tidak.. Allah menetapkan syariah bukan untuk membebankan hambanya bahkan sebagai jalan yang bahagia bagi hambanya..jalan yang terbaik..adakah disana terdapat jalan yang lebih baik daripada jalan yang telah ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya? Marilah sama-sama kita fikirkan.. ” Tepuklah dada, tanyalah iman masing-masing “. Wallahua’lam..


 

KePeNtInGaN iLmU..

Islam adalah sebutan terhadap pengetahuan dan tindakan mempraktikkan pengetahuan tersebut. Seseorang dapat menjadi Brahman tanpa memiliki pengetahuan, kerana ia lahir sebagai Brahman dan akan terus hidup sebagai Brahman. Demikian pula seseorang yang lahir dari orang tua berdarah bangsawan akan menjadi bangsawan pula, walaupun ia tidak memiliki pengetahuan apapun kerana ia lahir sebagai bangsawan maka ia akan tetap disebut seorang bangsawan sampai akhir hayatnya. Tetapi, seseorang tidak dapat menjadi seorang Muslim tanpa memiliki pengetahuan, kerana Islam tidak diperoleh kerana faktor keturunan, tetapi kerana pengetahuan. Kalau orang yang bersangkutan tidak mengetahui apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, bagaimana ia boleh mendakwa beriman kepada ajaran tersebut dan mempraktikkannya? Dan bila ia menyatakan keimanannya tanpa kesedaran dan tanpa pengertian mengenai ajaran tersebut, bagaimana ia dapat menjadi seorang Muslim? Adalah tidak mungkin untuk menjadi seorang Muslim dan hidup sebagai seorang Muslim tanpa tahu apa-apa. Seseorang yang dilahirkan di tengah-tengah keluarga Muslim, mempunyai nama seperti seorang Muslim, berpakaian seperti seorang Muslim, dan menyatakan dirinya sebagai seorang Muslim, sebenarnya dia bukanlah seorang Muslim. Kerana seorang Muslim yang sebenarnya hanyalah seorang yang tahu apa makna Islam yang sebenarnya dan menyatakan keimanannya kepada Islam dengan penuh kesedaran. Perbezaan yang sebenarnya antara seorang kafir dengan seorang Muslim bukanlah perbezaan dalam nama. Nama Joni tidaklah bererti bahawa pemiliknya adalah seorang kafir dan nama ‘Abdullah pula pemiliknya adalah seorang Muslim. Demikian pula orang yang memakai seluar jeans tidak bererti dia seorang kafir, dan yang memakai sarung pula seorang Muslim. Tidak, tidak demikian. Perbezaan yang sebenarnya antara seorang kafir dengan seorang Muslim adalah dalam hal pengetahuan. Seseorang adalah kafir kerana ia tidak tahu bagaimana hubungan dirinya dengan Tuhan dan hubungan Tuhan dengan dirinya, dan tidak tahu cara hidup yang mana yang harus dijalaninya di dunia ini, yang sesuai dengan kehendak Tuhan. Apabila seorang anak dari orang tua yang Muslim tidak mempunyai pengetahuan mengenai hal ini, maka apa alasannya bagi kita untuk menganggap dirinya sebagai seorang Muslim?

Saya minta anda semua meneliti baik-baik apa yang sedang saya huraikan dengan penuh tekanan ini, dan memikirkannya dengan tenang tanpa emosi. Anda semua harus mengerti benar-benar bahawa memperoleh atau kehilangan kurniaan Allah yang terbesar yang anda syukuri itu, adalah tergantung seluruhnya pada pengetahuan. Bila anda tidak punya pengetahuan untuk itu, anda sama-sekali tidak akan dapat memperoleh kurniaan itu. Bahkan kalau anda mempunyai sebahagian kecil saja dari anugerah itu, maka kerana kejahilan anda, anda akan selalu terancam bahaya kehilangan milik anda itu. Orang yang layak memiliki anugerah yang besar itu, kerana kebodohannya, mungkin akan mengira bahawa dirinya adalah seorang Muslim, padahal sebenarnya ia bukanlah seorang Muslim. Perumpamaan orang yang sama sekali tidak tahu perbezaan antara Islam dengan kufr serta perbezaan antara Islam dengan syirk adalah ‘ibarat seseorang yang sedang berjalan pada sebuah jalur jalan yang gelap. Kemungkinan besar ketika ia sedang mengikuti sebuah jalur yang lurus, langkahnya menyeleweng ke arah yang lain dan ia tidak sedar bahawa ia telah menyeleweng dari arah yang lurus yang harus ditempuhnya. Dan besar kemungkinannya, di tengah jalan ia akan bertemu dengan seorang dajjal yang akan mengatakan kepadanya: “Hai Nak! Kamu telah tersesat dalam kegelapan. Mari, kupimpin engkau kepada tujuanmu”. Pejalan yang malang itu, kerana gelap tidak dapat melihat dengan matanya sendiri mana arah yang lurus. Lantaran itu, tanpa curiga apa-apa, ia akan segera menyambar tangan si dajjal dan terus berpegang kepadanya, dan si dajjal akan membawanya ke jalan yang sesat. Bahaya ini mungkin sekali akan menimpa pejalan tersebut, kerana ia sendiri tidak memiliki obor apa pun dan kerananya ia tidak dapat melihat rambu-rambu di sepanjang jalan yang ditempuhnya. Apabila ia mempunyai obor, tentulah ia tidak akan tersesat atau disesatkan oleh orang lain. Dari contoh ini anda boleh memahami bahawa, bahaya terbesar bagi seorang Muslim adalah kejahilannya sendiri terhadap ajaran Islam, dan kejahilannya terhadap apa yang diajarkan oleh Al-Qur’an dan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW tidak punya pengetahuan, ia pasti akan meraba-raba saja sepanjang jalan, dan akan disesatkan oleh dajjal. Tetapi bila ia punya obor pengetahuan, maka ia akan mampu melihat jalan Islam yang lurus pada setiap langkah dalam hidupnya, melihat dan menghindari jalan-jalan kufr, syirk bid’ah dan kehinaan yang menghadang jalannya, dan bila seorang penyesat ditemuinya di tengah jalan, maka setelah bertukar kata sejenak dengannya, ia pasti akan segera sedar bahawa orang yang ditemuinya itu adalah seorang yang jahat dan tidak boleh diikuti.

fahamkah kita?

Alhamdulillah…bersyukur kepada Allah kerana telah memberi ana satu  kerajinan untuk menulis setelah sekian lame meninggalkan blog ni.. Di kesempatan ini ana ingin berkongsi dan bertanya serta memuhasabah diri kita samada kita benar2 faham serta mendalami makna2 dari kitab Allah subhanahu wata’ala… banyak kalimah2 dari Al-Quran yang masih lagi kita tidak mendalami maksud dan pemahaman yang sebenar sebagaimana fahamnya ulama’ terdahulu… Antara kalimah yang ingin ana sentuh ialah empat kalimah yang mana sering diulang dalam Al-Quran yang mana sepatutnya menjadi panduan hidup seluruh ummat manusia.. Empat kalimah ini ialah kalimah yang memang dipandang enteng dan kecil serta dipandang sekilas mata sahaja oleh umat islam kini… Al-ilah, Ar-rab, Ad-din dan Al-‘ibadah adalah empat kalimah yang ingin ana kongsikan maksud yang benar2 difahami oleh ulama’ besar dahulu seperti Abu ‘ala al-maududi dan sebagainya.. Mungkin ramai yang akan kate ” dah paham dah maksud ni, Al-ilah tu Allah la.. Ar-rab tu Allah jugak maknenya, Ad-din tu agama..Al-‘ibadah tu beribadatla..” mesti ramai dikalangan kite yang memahami dengan pemahaman seperti ini…ana juga pernah memahami kalimah ini seperti ini sehinggalah Allah memberi peluang kepada ana untuk mengubah pandangan ana itu…alhamdulillah… jika ingin dihabiskan penulisan tentang 4 kalimah ini memang tidak cukup sekali menulis sahaja…insyaAllah ana akan cuba untuk mengupas maksud kalimah ini dalam post yang lain… moga2 kita akan dapat mengambil manfaat dari ilmu ini..wallahu a’lam

Suka-suki aidilfitri…

Dikala tibanya perayaan  hari raya idulfitri pasti ramai yang pulang ke kampung halaman, bertemu sanak saudara dan kaum keluarga. Di samping itu, mereka turut melakukan amalan kunjung mengunjung, ziarah menziarahi antara satu sama lain. Sedar atau pun tidak, kaum keluarga yang sudah lama tidak bersua muka dapat bertemu pada hari raya. Dari satu sudut ia akan merapatkan hubungan kekeluargaan dan silaturrahim. Namun masih ramai masyarakat yang tidak mengetahui beberapa hukum penting berkenaan pantang larang Islam. Walaupun kita digalakkan merapakan hubungan antara kaum kerabat terdekat, hubungan tersebut ada batasannya. Salah satunya ialah hukum bersalaman antara wanita dan lelaki ajnabi. Ramai kalangan masyarakat tidak menyedari perbuatan bersalam-salam antara sepupu lelaki dan wanita atau antara seorang wanita dengan bapa saudara suaminya atau sebaliknya adalah termasuk dalam hukum bersalaman wanita dengan lelaki ajnabi.

Sebenarnya, seorang lelaki itu boleh bersalaman dengan wanita mahramnya berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. pernah mencium Fatimah. (HR Abu Dawud dan al-Tirmizi). Selain daripada wanita mahram, bukan mahram atau diistilahkan sebagai wanita ajnabiyyah atau ajnabi. Wanita ajnabi ialah mereka yang halal dikahwini yang bukan mahram atau bukan isterinya. (al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami 7/598). Akhir-akhir ini, umat Islam sering mempertikaikan hukum Allah Taala, baik hukum yang kecil sehingga hukum yang besar termasuk hukum bersalaman sendiri. Berdasarkan pengamatan ulama, mereka bersepakat bahawa seorang lelaki tidak boleh bersalaman dengan wanita ajnabi. Seorang tokoh mazhab Shafie yang disegani, Imam al-Nawawi menegaskan : ‘Sesungguhnya halal melihat kepada wanita ajnabi jika ia ingin menikahinya, atau ketika urusan jual beli, atau ketika mengambil sesuatu barang atau memberi kepadanya dan seumpamanya dan tidak harus menyentuhnya dalam sesuatu situasi berkenaan’. (al-Azkar, 228).

Ummul Mukminin Aisyah r.a pernah bersumpah menafikan Rasulullah s.a.w. pernah menyentuh tangan wanita dalam bai’ah peristiwa hijrah : ‘Demi Allah, tangan baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita pun, baginda hanya berbai’ah dengan ucapan’. (Fath al-Bari 11/345-346 dan Sharh Sahih Muslim 13/10). Hadis ini menjelaskan bahawa bai’ah wanita hanya berlaku dengan ucapan sahaja tanpa bersalaman. (Sharh Sahih Muslim 13/10). Ini disokong oleh satu riwayat lain di mana Umaimah binti Raqiqah r.ah pernah berkata : ‘Aku datang kepada Rasulullah s.a.w. dalam kumpulan wanita, kami ingin berbai’ah dengannya. Kami berkata : “Kami berbai’ah denganmu wahai Rasulullah bahawa kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu, kami tidak mencuri, tida berzina, tidak membunuh anak-anak kami dan kami tidak akan membuat cerita dusta yang direka-reka serta kami tidak akan mengingkari perintahmu pada kebenaran”. Lantas Rasulullah s.aw. bersabda : “Pada perkara yang kamu mampu dan berdaya”. Umaimah menceritakan lagi : “Kami berkata bahawa Allah dan RasulNya lebih mengasihani kami daripada diri kami, ayuhlah kami ingin berbai’ah denganmu wahai Rasulullah”. Lalu Nabi s.a.w menjawab : “Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita, sesungguhnya perkataanku kepada seratus orang wanita adalah seperti perkataanku kepada seorang wanita atau seumpama perkataanku kepada seorang wanita”. (HR al-Tirmizi 4/151-152, al-Nasa’i 7/149, Ibn Majah 2/959. al-Tirmizi menyebut : ‘Hadis ini hadis hasan sahih).

Hadis ini adalah nas yang jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. tidak bersalaman dengan wanita ketika berbai’ah. Jika Nabi seorang yang maksum tidak bersalaman ketika bai’ah, maka lebih aula hukumnya dalam situasi selain bai’ah. Apabila Rasulullah s.a.w. tidak bersalaman dengan wanita, sudah tentu kita juga wajib mengikut sunnah baginda kerana baginda s.a.w. adalah qudwah dan ikutan kita semua. Dengan dalil-dalil yang sudah jelas dan terang ini, maka tertolaklah segala dakwaan dan hasutan yang cuba menghalalkan perbuatan bersalaman antara lelaki dan wanita. Sesetengah orang berhujahkan keharusan bersalaman dengan wanita melalui hadis Ummu Atiyyah yang diriwayakan oleh al-Bukhari. (Fath al-Bari 10/262). Di sini, saya tidak mahu memanjangkan syubhah-syubhah yang dikaitkan dengan riwayat tersebut. Cukup saya nukilkan penjelasan al-Albani rahimahullah, pakar hadis terkenal : ‘Dan kesimpulannya ialah tidak sahih daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersalaman dengan wanita walaupun ketika peristiwa bai’ah, lebih-lebih lagi dalam situasi ketika bertemu. Segilintir orang yang berhujah keharusannya dengan hadis Ummu Atiyyah yang saya sebutkan tadi sedangkan lafaz bersalaman tidak pernah disebut dalam riwayat tadi dan mereka berpaling daripada hadis-hadis yang jelas menafikan Nabi s.a.w. bersalaman adalah merupakan satu perkara yang tidak keluar dari seorang mukmin yang ikhlas’. (Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 2/55).

Oleh itu, bagi kita umat Islam, tiada yang lebih baik dan lebih utama kecuali mengikuti sunnah dan petunjuk Nabi s.a.w. Dalam era moden sekarang, tidak perlu kita mendakwa untuk meniti arus kemodenan maka kita mesti mengikuti semua budaya barat dan cara mereka. Bahkan sebenarnya, yang menjadi keutamaan kita ialah memperkukuhkan diri kita dengan nilai-nilai murni Islam dalam era modenisasi sekarang. Ini supaya kita tidak mudah terjerumus dan tergelincir dihanyutkan oleh kesesatan dunia hari ini. Mudah-mudahan semua umat Islam mendapat hidayah Allah s.w.t. Amin.

sunnah yang jarang dilakukan…

ramai antara manusia zaman sekarang ini hanya menghighlightkan sunnah yang kena dengan selera mereka sahaja.. sebagai contoh KAHWIN EMPAT… ramai manusia yang menggunakan hujah ‘ kahwin empatkan sunnah’… memang benar kahwin empat itu sunnah yang ditinggalkan oleh nabi tetapi macam mana pula dengan keadilan? tanggungjawab? jika berkahwin empat… nabi pernah bersabda mafhumnya ‘ sebaik2 lelaki itu adalah mereka yang paling baik kelakuannya terhadap wanita mereka’… marilah kita melihat sunnah yang lebih mudah dan ringan buat kita tetapi telah kita lupakan…

Inilah yang membuatkan saya menyeru rakan-rakan pembaca agar menilai semula diri masing-masing..Antara sunnah-sunnah yang dianggap perkara remeh temeh yang jarang dilakukan oleh orang Islam hari ini ialah :

1) Memulakan mandi wajib dengan wuduk
Al-Bukhari (843) dan Muslim (613) meriwayatkan daripada Aishah r.a. bahawa Nabi s.a.w. apabila mandi junub, baginda akan memulakan dengan membasuh kedua tangannya kemudian BERWUDUK seperti wuduk untuk solat, kemudian baginda memasukkan jari-jarinya ke dalam air dan menyelati dengan jarinya akan celah-celah akar rambutnya, kemudian baginda mencurahkan ke atas kepalanya sebagai tiga kali curahan dengan kedua tangannya, kemudian baginda mencurahkan air ke atas semua kulitnya.

2)Memakai selipar dengan kaki kanan dan menanggalkannya dengan kaki kiri
Ini juga satu perkara yang sering kita lupa atau terlupa. Tiap kali keluar rumah, biasanya bergegas tanpa sempat perhatikan, kaki mana mula menyarungkan selipar. Abu Hurairah r.a. melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Apabila seseorang kamu ingin memakai selipar, maka mulakanlah dengan kaki kanan, dan apabila ingin menanggalkannya maka mulakan dengan kaki kiri, agar sebelah kanan menjadi kaki pertama dipakaikan dan terakhir ditanggalkannya” [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Libas 6585, Sahih Muslim, Kitab al-Libas 7902]

3) Bernafas di luar gelas ketika minum air
Daripada Abdullah bin Abi Qatadah daripada bapanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda : “Apabila seseorang kamu minum, maka janganlah ia bernafas dalam bekas, dan apabila ia memasuki tandas, janganlah ia menyentuh zakarnya dengan tangan kanan, dan jangan membasuh najis dengan tangan kanan”. [al-Bukhari, Kitab al-Wuduk 351, Sahih Muslim, Kitab al-Taharah 762].
Dari segi hikmahnya sudah pasti pakar-pakar perubatan boleh menjelaskannya sendiri.

4) Berdoa selepas tasyahhud dan sebelum salam
Ini satu lagi yang jarang dilakukan. Kalau kita menjadi makmum, mungkin apabila selesai membaca tahiyyat (tashahhud akhir), kita akan menunggu Imam memberi salam sahaja. Sedangkan sunat bagi kita untuk berdoa sebelum salam. Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda : “Kemudian hendaklah ia memilih daripada apa-apa doa yang menarik perhatiannya, maka ia pun berdoa”. [al-Bukhari, Kitab al-Azan 538]

5) Memberi salam kepada sesiapa yang dikenali atau tidak dikenali
Subhanallah, ini satu lagi sunnah yang sangat-sangat jarang kita dapati. Kalau sesama kawan yang dikenali pun kadang kala kita tidak member salam. Lebih banyak perkataan Hai! Hello! Dan melambai tangan je…Sabda Nabi s.a.w selepas ditanya tentang amalan dalam Islam yang terbaik : “Kamu memberi makan dan member salam ke atas orang yang kamu kenali dan orang yang kamu tidak kenali”. [Sahih al-Bukhari dan Muslim]

6) Membaca doa ketika mendengar bunyi ayam berkokok
Ini antara perkara yang sangat jarang dilakukan. Walhal ia benda yang remeh dan mudah. Sabda Nabi s.a.w : “Apabila kamu mendengar bunyi ayam jantan berkokok maka mintalah kepada Allah akan kurniaanNya, ini kerana sesungguhnya ia melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar bunyi suara keldai, hendaklah kamu meminta berlindung dengan Allah daripada syaitan kerana ia melihat syaitan”. [Sahih al-Bukhari dan Muslim].

Ini antara sebahagian yang sunnah Nabi yang jarang dilakukan oleh kita. Sama-sama lah kita menilai diri masing-masing, sejauh mana kehidupan kita dengan sunnah Nabi. Jangan hanya ingin mengikut sunnah Nabi yang kita rasa jelera atau selera je….yang tak kena dengan jelera kita, ditinggalkan…Allahurabbi!

satu click…dosa mencurah2…

Apabila zaman semakin maju, kecanggihan teknologi akan semakin kedepan dan masyarakat awam akan semakin mudah untuk mendapatkan sesuatu maklumat yang diperlukan hanya dengan satu klik. Dengan adanya kemudahan komputer dan email ini masyarakat akan terdedah dengan ancaman dan bahana video dan cerita-cerita lucah yang semakin meluas. Hampir ada pada setiap pelajar samada dikolej dan universiti termasuk yang bekerja akan mendapat kemudahan internet yang disediakan. Walaupun teknologi sebenarnya di ciptakan untuk kebaikan dan manfaat seluruh manusia, tetapi ia tidak terkecuali juga daripada dieksplotasi untuk membawa keburukan juga.

Mendapatkan bahan-bahan terlarang seperti gambar dan video-video lucah dari internet memang mudah dan aktiviti ini semakin berleluasa terutamanya yang semakin meningkat remaja tetapi sebenarnya mereka tidak menyedari bahawa perbuatan itu boleh mengundang padah. Lebih mendukacitakan apabila ada yang gila ataupun boleh dikatakan hilang akal menulis cerita-cerita yang berunsur lucah dan menyebarkan video-video porno hanya untuk kepuasan mereka supaya dapat ditonton dan dibaca oleh pengunjung-pengunjung internet tanpa mereka sedari bahawa perbuatan mereka itu membawa malapetaka yang berterusan.

Penulis, pengirim dan penyebar bahan lucah terutamanya yang muslim perlu sedari apabila mereka melakukan perkara terkutuk tersebut tanpa disedari dosa mereka sukar diampunkan. Ini kerana jika anda sempat bertaubat insya’Allah dosa anda akan diampunkan tetapi bagaimana pula dengan perbuatan anda yang menyebarkan bahan-bahan lucah tersebut yang menyebabkan ramai manusia terdorong melakukan maksiat?. Dosa manusia terus dengan Allah, seperti meninggalkan solat fardu , puasa, zakat dan sebagainya akan Allah ampunkan tetapi dosa kita sesama manusia hanya Allah akan ampunkan bila insan tersebut mengampunkan kita.

Apabila seorang sahaja yang membuka laman web tersebut maka dia akan mendapat dosanya dan penyebar lucah tersebut akan mendapat habuan dosanya juga. Tetapi realitinya bukan seorang sahaja tetapi berjuta-berjuta manusia yang membuka laman web prono tersebut.Ini kerana apabila seseorang itu melakukan perkara yang dilarang oleh agama seperti perkara tersebut maka setiap manusia yang membuka laman web tersebut maka si penyebar dan penulis web tersebut akan mendapat dosanya tanpa kurang bagi setiap orang yang membukanya. Jika andalah orangnya berapa banyak dosa anda yang perlu ditanggung lagi.Ini sebagaimana dalam sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam:

Ertinya : “Sesiapa yang melakukan sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya..” ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )

Inilah satu malapetaka yang sangat besar pada zaman ICT ini. Dengan sekali klik sahaja saham dosa akan mencurah-curah. Namun itulah antara punca untuk mengheret seseorang itu kepada gejala sosial atau naluri ingin tahu. Maka keberangkalian seseorang itu terangsang untuk terus meneroka laman web sedemikian amatlah tinggi. Sebab itu bagi seseorang muslim apabila timbul keinginan untuk membuka laman web sedemikian hendaklah berhati-hati dan perlu ada belas kasihan bagi mengelakkan kita dan pengirim dari berdosa. Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam:

Ertinya :”Seseorang di antara kamu tidak beriman (dengan sempurna) kecuali setelah mencintai saudaranya sepertimana mencintai dirinya.” (Diriwayatkan oleh Bukhari dalam al-Iman no. 7)

Maka sebagai seorang muslim tidak perlu terjerumus sekali kekancah tersebut bagi mengelakkan kita dan mereka mendapat dosa-dosa yang dilakukan olehnya. Ini kerana setiap perkara dosa tidak boleh bagi manusia membantu dalam urusan tersebut sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.” (Surah Al-Maidah: 2)

Selain itu juga terdapat anasir-anasir jahat dengan menggunakan internet terutamanya laman web lucah sebagai tarikan sebelum pengunjung menjadi mangsa. Mereka akan menyerang komputer menjadi lembap atau rosak dan juga boleh menyebabkan kerugian. Senario ini telah meluas apabila ramai para pengguna internet ditipu dan mengadu bil internet dan telefon mereka terlalu tinggi. Ini kerana apabila kita melayari laman web prono tersebut komputer mereka sebenarnya telah diceroboh oleh virus yang melakukan sambungan internet ke talian antarabangsa. Maka sudah tentu bil telefon akan dikenakan caj tempatan dan caj antarabangsa kerana ia telah dihubungkan ketalian luar Negara.Malah perisian jahat itu boleh mencuri rahsia dalam komputer seperti nombor kad kredit dan perkara-perkara yang kita tidak sedari boleh membawa masalah dan mengundang padah pada diri sendiri.

malas ibadat…

MALAS adalah satu penyakit. Ia menimpa semua orang termasuk remaja. Malas ada bermacam ragam, ada malas belajar, malas kerja, malas bercakap, malas makan serta seribu satu macam jenis malas lagi.

Malas ada risiko dan akibatnya, tetapi apa yang menakutkan adalah kalau malas beribadat.

Akibat dan risiko malas yang lain boleh ditanggung, tetapi kalau malas beribadat tidak mampu ditanggung rasanya.

Siapa yang sanggup menanggung azab sengsara dibakar api neraka.

Perhatian kita terhadap penyakit malas ibadat amat menurun dan corot terutama terhadap anak remaja kita.

Lihat saja kalau anak kita tidak ke kelas tambahan atau tuisyen, bukan main marah kita maki dan kadang-kadang pukul mereka.

Berbanding keadaan kalau anak kita tidak menunaikan solat, puasa atau anak gadis tidak menutup aurat, tidak kita dengar suara menyuruh atau berleter.

Kadang-kadang yang kita temui apabila emak atau ayah menyuruh adalah yang tolong bela.
“Kasihan budak tu…biarlah dia tidur, di asrama tak cukup tidur…,” bela emak pada anaknya yang balik bercuti.

Kita memberi perhatian kepada pelajaran yang akan memberi skor ‘A’ dalam peperiksaan, tetapi bagi pelajaran fardu ain, kita buat tidak endah saja.

Sebenarnya ini penyuburan nilai tidak prihatin kita yang ditanamkan terhadap anak tanpa kita sedari.

Kita lebih khuatir masa depan dunia anak kita daripada masa depan agama mereka.

Dunia memang penting. Islam tidak pernah menolak dunia yang sehingga al-Quran mewasiatkan dalam firman Allah yang bermaksud:

“Carilah apa yang dikurniakan Allah terhadap perkara akhiratmu dan janganlah kamu lupa urusan dunia kamu…”

Jangan lupa dunia antara mesejnya, tetapi jangan pula leka mencari dunia sehingga lupakan akhirat, kadang-kadang bukan saja lupa akhirat, malah Allah sebagai Tuhan yang disembah pun dilupakan juga.

Memang patut kita risau kalau anak kita tidak berjaya di dunia, tetapi lebih patut lagi kita risau kalau anak ke neraka gara-gara gagal beribadat ketika di dunia.

Pesan dan motivasi anak supaya bersungguh-sungguh belajar, tetapi jangan lupa hendak berpesan kepada mereka supaya tidak mengabaikan ibadat terutama solat sebagai tiang agama.

Nabi Yaakub berpesan kepada semua anaknya sebelum wafat,

“…apakah yang kamu sembah selepas kematianku…”


Bagi yang lalai dan terlalu leka dengan dunia mungkin pesanannya sebelum mati,


“…anak-anakku apa yang akan kamu makan selepas kematianku…”