Posts from the ‘Akhlak’ Category

Jagalah lidah…

Bercakap adalah perkara yang paling digemari oleh manusia..lebih-lebih lagi wanitakan..duk bergosip kat sini..duk bergosip kat sana…kalu lelaki pulak duk sembang kat warung..cakap pasal pelakon..cakap pasal rancangan akademi fantasia,raja lawak dan macam-macam lagila..tapi kita sebenarnya lupa..yang setiap perkara yang kita lafazkan itu akan dihisab diakhirat kelak..setiap cerita kita tu samada betul ke tidak..baik ke buruk..tipu ke benar..semuanya akan dihisab di hari akhirat kelak..

Satu kalimah atau kata-kata arab ada mengatakan bahawa :

” كل الكلام من المسلم له الثمن “

( setiap perkataan atau percakapan yang keluar daripada seorang muslim itu ada baginya harga )

 

Dengan kata-kata hikmah ini dapatlah kita simpulkan bahawa setiap percakapan kita ini tidak kerana kecil atau besar semuanya akan dihisab oleh Allah.. Firman Allah juga ada menyebut mafhumnya “ barang sesiapa yang melakukan sekecil-kecil kebaikan pun maka ia akan ditunjukkan kelak, dan barang sesiapa yang melakukan sekecil-kecil kejahatan juga akan ditunjukkan nanti ” jadi daripada firman Allah ni dapatlah kita lihat betapa islam ini menjaga setiap pergerakan umatnya..bukan mengongkong tetapi menunjukkan cara yang baik didalam bermuamalat dengan orang..kerana percakapan ini biasanya berlaku diantara dua pihak..jika tidak berlaku sedemikian maka gilalah orang tersebut..8)

Tidak cukup lagi dengan firman Allah dan kata-kata hikmah..sekarang kita teliti pula hadis Rasulullah (s.a.w) :

” من كان يؤمن با لله و اليوم الأخر فليقل خير أو ليصمت “

( Barang sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka ucapkan perkataan yang baik ataupun diam )

.:: Gambar Hiasan ::.

Dari hadis ini juga dapat kita lihat gesaan Rasulullah (s.a.w) kepada umatnya supaya berkata perkara yang baik sahaja..jika ditakuti dengan bercakapnya itu akan keluar perkataan yang kesat maka lebih afdallah kepada seseorang itu untuk diam..hal ini kebiasaannya banyak berlaku ketika kita marah..maka masa tu lebih baiklah kita senyap sahaja..takut-takut dengan sebab kata-kata kita itu kita akan dilemparkan ke dalam api neraka Allah..

Selain daripada firman Allah, hadis Rasulullah (s.a.w) dan kata hikmah ini marilah kita juga lihat kepada pepatah melayu kita..pepatah melayu ada menyebut “ terlajak perahu masih boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya ” lebih kurang macam nila kot..dah tak berapa ingat dah..duk kat negara arab lama sangat dah ni..( perasan ) 8)..dari kata pepatah ni jugak ada sebut..kalau kita terlajak kata-kata ni boleh menyebatkan badan kita binasa..sebagai contohlah..kita bercakap dengan orang yang memang otai giler-giler la cakap kau..selepas tu kita kata kat dia ” buruklah muka lu mat “….memang gerentila kena sebat sampai lembik..jadi sepatutnyalah kita menjaga kata-kata kita ni..

Cukup dah kot untuk sekadar perkongsian pada kali ini..marilah sama-sama kita menjaga percakapan kita tidak kira dimana sahaja kita berada.. wallahua’lam..

Advertisements

Asas kepada ukhuwwah…

Dalam kehidupan, manusia tidak dapat lari dari pergaulan rakan dan taulan. Asas utama yang menjadi kunci adalah hati yang menjadi peranan penting dalamjiwa dan kehidupan Muslim untuk menegak iman yang kuat serta jati diri yang berasaskan ketakwaan kepada Allah serta mengingati-Nya dengan berzikir dan berselawat kepada Rasulullah sepanjang masa.
Firman Allah dalam surah al-Anfal 8, ayat 2 menyentuh kepentingan hati:

‘Sesunguhnya orang orang beriman itu apabila mereka menyebut Allah terasa
gementarlah hati-hati mereka.’

Iman menunjukkan keikhlasan hati yang sihat akan membuahkan keimanan yang kuat dan akan membawa kepada jiwa yang bersih serta fikiran yang bernas dan menampakkan keikhlasan dalam pergaulan. Hati membayangkan keikhlasan iman seseorang berdasarkan apa yang diungkapkan oleh lidah atau gerak geri dan tingkah laku dalam pergaulan harian, ini sudah dapat difahami bahawa itu adalah kehendak hati walaupun tiada sebarang penjelasan melalui percakapan. Sekiranya hati sentiasa sihat pergaulan dan persahabatan sentiasa mesra dan bahagia.

Sebaliknya andai hati tidak sihat maka tidak ada tolak ansur dalam pergaulan. Setiap tindakan sudah ketara tidak ikhlas dan boleh membawa kepada munafik disebabkan sering kali berbohong dan berdolak dalik mencari helah bagi melindung diri dari penipuan. Begitulah peranan hati dalam menjalani kehidupan di dunia ini, tetapi setiap insan sering kali melupai bahawa segala tindakan di dunia ini adalah penentuan habuan yang akan sampai di antara dua persimpangan di hari pembalasan sama ada baik atau buruk, ke syurga atau neraka. Malangnya jalanyang dilalui dalam kehidupan setiap insan sentiasa melalaikan kecuali yang beriman. Lantaran itu Rasulullah sentiasa memberi peringatan terhadap umatnya melalui sabda baginda:

‘Kasihilah olehmu akan saudara kamu seperti mana kamu kasih kepada diri kamu
sendiri.’

.:: BAIK BURUK PERANAN HATI ::.

Hati merupakan asas yang sangat penting dan tersembunyi dalam diri setiap insan. la memainkan peranan yang sangat bermakna dalam kehidupan seharian. Rasulullah s.a.w. menyatakan soal hati seperti berikut:


‘Ketahuilah kamu di dalam badan manusia terdapat segumpal darah. Apabila baik maka baiklah keseluruhan segala perbuatannya dan apabila buruk maka buruklah keseluruhan tingkah lakunya. Ketahuilah kamu bahawa ia adalah hati’

Berdasarkan hadis di atas bahawa kebaikan manusia atau keburukannya datang dari hati, kerana hati adalah pengarah bagi pancaindera yang lahir. Jika hatinya baik maka baiklah segala perbuatannya serta rasa senang setiap rakan taulan mendekatinya dalam pergaulan. Andai hatinya buruk dan busuk, maka segala perbuatannya akan jahat dan keji, sentiasa cenderung ke arah maksiat
mengikut kehendak hati dan hawa nafsu, dan pernikirannya ketika itu pula akan kalah dan sentiasa diketepikan.

Oleh itu, hati adalah raja bagi seluruh anggota, manakala anggota-anggotanya yang lain adalah tentera. Anggota-anggota ini sering melakukan sesuatu mengikut kehendak hati. Andai baik hati maka baiklah dalam pergaulan. Andai sebaliknya, maka kawan dan rakan seringl kali menjadi mangsa. Dalam masalah ini Allah s.w.t sentiasa mengingatkan kepada hamba Nya melalui firman Nya dalam al Quran, surah al Syu’ara’ 26, ayat 88-89 yang berbunyi:

‘Di hari yang tidak ada manfaat sama ada harta benda begitu juga anak-anak
melainkan sesiapa yang menghadap Allah dengan hati yang suci murni (iaitu
penuh keikhlasan) kerana Allah semata-mata.’

Hati yang amat dihargai di sisi Allah ialah hati yang suci bersih dari sebarang maksiat, syubhah, hasad dengki dan seterusnya perkara perkara yang makruh atau yang dibenci oleh Allah. Sebab itu Rasulullah s.a.w sentiasa berdoa kepada Allah dengan sabdanya:

‘Ya Allah, sesungguhnya aku memohon darimu hati yang suci bersih’

Walaupun Rasulullah s.a.w seorang yang maksum, tetapi ia sentiasa berdoa supaya hatinya suci bersih. Hal ini adalah bertujuan sebagai pengajaran kepada umatnya. Dengan demikian hati yang suci bersih dari sebar ang kekejian itu ialah hati yang bersih dari segala penyakit yang dibenci oleh Allah seperti hasad, dengki, dendam, iri hati, cemburu di atas kejayaan orang lain atau     merancang sesuatu yang tidak baik bertujuan menganiaya orang lain dan sebagainya.

Seandainya tidak ada perkara perkara yang tersebut di atas, sudah tentu hati itu akan sentiasa kasih kepada Allah dengan melakukan perkara perkara yang diredai oleh Allah dengan rasa ikhlas. Rakan dan taulan juga menyenanginya dalam pergaulan dan Allah sentiasa mengasihinya. Situasi ini sangat dititikberatkan oleh syariat kerana hati memainkan peranan penting ke arah mengukuhkan keimanan dan memantapkan keyakinan akidah seseorang yang beriman kepada Allah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

‘Tidak tetap iman seseorang hamba sehinggalah tetap pendirian nya.’

Bagi menentukan ketetapan iman atau sebaliknya dengan herdasarkansegala amalan anggota lahiriah yang berlandaskan niat hati kerana kejujuran amalan itu tidak wujud melainkan terletak pada hati yang ikhlas. Macam mana pulak iman dikatakan tidak tetap sehinggalah tetap pendirian? kita akan kupas lepas ini.. wallahua’lam

Kemana hilangnya…

SEORANG wanita melintas jalan. Dia cantik dan bergaya. Kulitnya mulus, pipinya gebu, bibirnya ‘ulas limau’, alisnya lentik, hidungnya mancung, matanya bundar dan bercahaya. Dadanya juga agak bidang. Lengannya putih jari-jemarinya halus dan runcing. Baju sendat menampakkan pusat dan skirt pendek yang disarung ke tubuh beralun sekali-sekala mengikut pergerakan tubuhnya.

Mata-mata yang melihat mula berimaginasi. Imaginasi itu sudah pasti yang indah-indah dan sudah semestinya bukan hal-hal yang baik.

Di satu sudut yang lain, seorang gadis berpakaian sopan dengan bertudung sempurna duduk di tepi taman. Di sisinya seorang lelaki sederhana tinggi yang juga berpakian sopan. Tangan mereka saling bertaut. Kadang, tangan si lelaki juga menjalari tubuh gadis. Mereka tersenyum, ketawa dan kelihatan sungguh bahagia.

Kelihatan juga sekumpulan gadis yang masih berpakaian sekolah. Ketawa berdekah-dekah, saling bertepuk tampar. Sesekali jeritan nyaring memecah suasana. Beberapa orang daripada mereka tidak bertudung. Di jari mereka terselit sebatang rokok. Mereka menghisap rokok.

Agak pedih dengan paparan itu, mata menerawang ke arah lain. Sebuah motosikal dipandu agak laju. Penunggangnya seorang lelaki muda yang lagaknya seperti mat rempit. Pemboncengnya pula seorang gadis. Gadis seksi dengan kelibat punggungnya yang separa bogel sedang erat memeluk pinggang lelaki yang sedang menunggang motosikal.

Wanita masa kini begitu liberal atau terbuka dalam banyak hal. Lihat sahaja golongan artis yang bebas berpakaian seksi dan banyak kali terlibat di dalam kancah skandal seks serta gambar dan video lucah mereka tersebar megah di dalam internet. Bukan artis sahaja, pelajar sekolah dan gadis remaja juga sering terlibat dengan penyakit sosial yang memalukan itu.

Apa hukuman untuk mereka yang terlibat dengan perbuatan memalukan itu? Ini merupakan musibah yang memudaratkan maruah wanita iaitu kehilangan rasa malu atau pudarnya sifat malu dalam diri mereka.

Di tengah–tengah masyarakat tidak kira sama ada di bandar atau desa, wanita seperti yang digambarkan di atas boleh ditemui. Kononnya dahulu, gadis atau wanita yang seksi begini hanya boleh ditonton di bandar-bandar besar.

Namun kini, pemandangan seperti itu sudah menular dan boleh dilihat di mana-mana jua.
Kampung atau bandar, desa atau pekan, sekolah, universiti, taman, pasar, pusat membeli belah dan sebagainya.

Secara realitinya, zaman dahulu fenomena wanita berpakaian seksi hanya terdapat di kelompok-kelompok tertentu dan di tempat-tempat tertentu. Malahan, hal-hal yang berkaitan ‘menconteng arang ke wajah’ juga sukar ditemui seperti kes khalwat atau zina, membuang anak, merokok, bergambar secara lucah, pelacuran dan sebagainya.

Keterbukaan masyarakat dan pendedahan tentang dunia semasa membuatkan wanita mula membuang sifat malu ke sisi yang kononnya dikatakan sifat malu itu merencatkan pembangunan sosial dan kemajuan dalam dunia wanita.

Tidak hairan, kini wanita mula dipandang sebagai golongan yang kini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Wanita mula memegang pelbagai peranan dalan masyarakat, berkerjaya, bebas melontar pendapat dan berani dalam melakukan sesuatu tindakan.

Tidak hairan juga komoditi pasaran ekonomi sebahagian besarnya untuk wanita, daripada wanita, dan mengeksploitasi wanita. Hal sebegini banyak dibincangkan bukan sahaja oleh peneliti sosiobudaya malahan golongan wanita sendiri yang mendakwa diri mereka feminis atau pejuang hak wanita.

Mereka memperkata tentang penindasan terhadap wanita, hak sama rata yang harus dinikmati oleh wanita dan pelbagai perkara lagi yang menuntut suatu keadaan di mana wanita boleh menikmati apa yang dinikmati oleh kaum lelaki. Persoalan gender sebegini tidak akan habis sampai bila-bila.

Suatu hal yang kurang diperjuang oleh golongan feminis terutama untuk wanita yang beragama Islam ialah perjuangan mengembalikan wanita kepada lumrah asalnya iaitu memelihara maruah dan melapik diri dengan sifat malu.

Istilah malu mempunyai makna dan pengertian yang luas dalam Islam. Malu merupakan sebahagian daripada Iman. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman.”

Malu atau dalam bahasa Arabnya ‘haya’ berasal daripada perkataan ‘hayat’ yang bermaksud kehidupan. Ia mencakupi sifat malu, memelihara aib diri dan orang lain, kesopanan, harga diri dan bersikap jujur dalam menjaga dan memelihara maruah kerana Allah.

Dalam Islam, sifat malu ditekankan pada setiap umatnya tidak kira sama ada wanita atau lelaki. Namun, wanita Muslimah ditekankan aspek menjaga maruah dan memiliki sifat malu memandangkan wanita merupakan golongan yang lemah, mempunyai 9 nafsu yang pelbagai serta dikatakan paling ramai menghuni neraka.Tentang hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Aku melihat ke dalam syurga, maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita.” (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas dan Imran serta selain kedua-duanya)

Imam Qurthubi rahimahullah menjelaskan hadis di atas dengan pernyataannya:

“Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka, kecenderungan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal…”

Selain iman yang lemah, membuang sifat malu untuk mengejar apa yang diimpikan dalam hidup juga merupakan satu kesilapan besar yang menjerumuskan wanita ke kancah kehinaan. Walau bagaimanapun, sifat malu terbahagi kepada dua iaitu malu yang bersifat kebaikan dan malu yang bersifat kejahatan.

Wanita khasnya dituntut mempunyai sifat malu terutama hal yang berkaitan maksiat dan larangan-larangan Allah. Apabila menghampiri hal-hal sebegini, mereka akan berasa malu, dan seterusnya memikirkan balasan Allah di dunia dan akhirat.

Manakala malu yang bersifat kejahatan pula ialah malu melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah. Dalam hal ini mereka bukan sahaja melakukan apa yang dilarang oleh Allah, malahan melanggar sistem sosial masyarakat sehingga melupakan balasan di dunia dan akhirat.

Wanita Muslimah atau wanita yang bertamadun tidak akan menggadaikan maruah dan membuang sifat malu semata-mata mahu kelihatan moden.

Mementingkan pandangan Allah s.w.t lebih bermakna daripada mementingkan pandangan masyarakat. Tidak kisahlah jika anda dilabel sebagai tidak moden, kolot dan sebagainya. Apa yang lebih penting ialah anda tahu menjaga maruah serta tahu kesan-kesan buruk yang akan berlaku kepada iman, maruah diri, keluarga dan masyarakat jika anda bertindak tidak tahu malu.

Memelihara malu diri sendiri dan menjaga aib (malu) orang lain sangat penting dalam pembinaan bangsa yang bermaruah. Malu dikatakan perisai dan perhiasan kepada wanita dan juga lelaki yang menghalang mereka dari terjerumus kelembah kehinaan serta dosa zahir dan batin.

Rasulullah juga pernah mengatakan bahawa malu adalah karektor bagi agama Islam serta mempunyai sifat malu yang sebenar-benarnya tidak akan menyebabkan perkara yang tidak baik.

Memandangkan dunia semakin berkembang dengan segala macam teknologi dan perubahan dari semua aspek, sudah sewajarnya setiap wanita menilai kembali sifat semulajadi atau lahiriah seorang wanita yang suatu waktu dahulu cukup kebal dengan sifat pemalu.

Sifat pemalu tidak akan menyekat pergerakan wanita untuk mengikuti perkembangan dunia semasa. Malahan wanita yang pemalu lebih berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga kelak. Insya-Allah.

Sudah tiba masanya, kumpulan atau golongan yang memperjuangkan hak wanita dan dunia wanita mengubah persepsi mereka terhadap peranan dan diri wanita dalam dunia masa kini. Mengejar kejayaan, kemodenan, kesamarataan taraf, menghindar penindasan dan sebagainya harus diperjuang, tanpa mengikis sifat wanita yang hakiki iaitu pemalu.

Malu adalah lambang iman yang akan membawa seseorang ke syurga. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya” (Riwayat Bukhari)

Pemalu bukan sahaja memperlihatkan kemanisan akhlak dan ketinggian akidah seseorang wanita. Malah, memelihara diri wanita itu sendiri daripada kehinaan dan kemusnahan peribadi secara beransur-ansur. Percayalah bahawa sifat malu tidak akan menyisihkan anda dari arus globalisasi. Malah, anda akan lebih berkeyakinan serta jelas dengan tujuan anda untuk melakukan sesuatu perkara.

Suatu kehilangan yang perlu ditangisi….

Suatu yang menarik perhatian dan indah bagi setiap muslim dan muslimat ialah melaksanakan suruhan Islam, mengamal kan adab peraturan serta sopan santun yang baik dan menarik dalam tatasusila Islam. Semua itu merupakan seni yang menambah seri setiap insan yang berakhlak mulia. Namun demikian akhlak mulia tidak akan wujud kecuali pada jiwa yang mulia, hati yang suci serta berasaskan iman dan taqwa yang dipadankan dengan kesabaran ketika berdepan dengan cabaran yang sering mematahkan iman dan
menghancurkan akhlak. Alangkah baik scandainya setiap muslim dan muslimat dapat mengamalkannya dengan adab dan sopan. Oleh itu bersopanlah kita dalam pergaulan harian menurut al Quran dan al Sunnah sepertimana yang diajarkan
oleh Rasulullah melalui sabdanya:

(( إنّما بعثت لأتمّم مكارم الأخلاق ))

‘Sesungguhnya aku Muhammad s.a.w. tidak diutus melainkan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.’
Oleh itu eloklah mempelajari dan mengamalkannya sebagai panduan yang sihat ke arah pergaulan yang harmoni bagi mempraktik diri dan jiwa untuk mendapat keredhaan Allah Yang Maha Esa. Maka setiap apa yang dibincangkan pada laman ini akan menunjukkan kepada muslimin dan muslimat  satu cara pergaulan ke arah kemuliaan akhlak sepanjang hayatnya serta mendapat rahmat dan ganjaran dari Nya. Dengan itu saya sebagai penulis sentiasa berdoa kepada Allah supaya menjadikan apa yang saya tulis ini sebagai suatu amalan yang ikhlas kerana Allah. Saya mengharapkan penulisan ini dapat memberi faedah kepada pembaca yang terdiri
daripada saudara muslim, dan muslimah atau pendengar daripada orang Islam yang menerangkan kepadanya, serta beriman dengan ilmu dan beramal seikhlas hati semoga kita sama sama berjaya di dunia dan di akhirat. Amin.

Insyaallah akan dikupaskan lebih lanjut selepas ini….kerana …ku letih untuk menulis blog hari ini…harap maaf..