” Kebahagiaan bagi anak Adam ada tiga. Dan kesengsaraan terhadap anak Adam ada tiga. Maka di antara yang membahagiakan adalah isteri yang solehah, kenderaan yang baik serta rumah yang lapang. Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu tempat yang tidak baik dan isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik.”

Apabila dilihat dari sudut Pergerakan Islam, sememangnya ketiga-tiga elemen di atas memainkan peranan yang amat penting sekali. Kelemahan sesuatu pergerakan Islam itu, adalah berkait rapat juga dengan kelemahan asas-asas tersebut. Ini adalah kerana, kegagalan isteri untuk berfungsi sebagai isteri yang solehah boleh memberi kesan yang negatif kepada para suami (yang terdiri daripada para dai’). Begitu juga rumah atau kenderaan yang tidak baik pula boieh melambatkan atau menghalang dari terlaksananya program-program Islam.

Isteri yang solehah, adalah asas yang terpenting sekali daripada asas-asas yang lain. Kegagalan asas ini boleh mengakibatkan asas-asas lain tidak akan benar-benar berfungsi untuk memberi kebahagiaan sebenarnya di dalam kehidupan. Tanpa wujud isteri yang solehah maka keluarga-keluarga Islam tidak akan dapat diwujudkan. Sedangkan pembinaan dan terbentuknya pergerakan Islam itu bergantug kepada kelahiran keluarga-keluarga Islam ini. Kalau sekiranya pergerakan Islam itu penting untuk membawa dan mempraktikkan Islam maka isteri yang Solehah juga sama pentingnya. Isteri yang solehah itu sentiasa berjuang bersama-sama suami
menyebarkan fikrah Islamiyyah, khususnya kepada kaum sejenisnya. Mendidik dan membimbing mereka sehingga lahir kefahaman dan kesedaran Islam. Sehingga mereka pula mampu untuk menjadi pejuang-pejuang akidah yang bersedia menumpukan taat setia kepada Islam dan pergerakannya.

Keletihan suami setelah melaksanakan tugas harian dan berdakwah disambut dengan wajah yang berseri dengan ucapan kata-kata yang dapat memberi kekuatan jiwa untuk lebih istiqamah, ketika menghadapi masyarakat jahiliyah tanpa mempunyai perasaan bosan dan jemu. Mengizinkan dan merasa bahagia melihat suami menjalankan tugas Islam tidak kira masa dan waktu. Bersedia
memberikan rumahnya, hartanya dan masanya untuk tugas yang murni ini dengan hati yang penuh redha. Isteri yang solehah juga sentiasa melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya dengan sebaik-baiknya dan bersedia untuk menghadapi segala ujian-ujian dari Allah SWT.

Terdapat banyak lagi sifat2 isteri yang solehah yang tidak mampu saya nak tulis kesemuanya di dalam laman yang kecil ini.. Di sini saya akan menyenaraikan sebahagian daripada sifat2 isteri yang solehah mengikut kacamata islam itu sendiri. Antaranya ialah :

Isteri yang soleh itu ialah yang taat kepada Allah dan Rasul dan patuh kepada perintahNya. Sanggup menjaga maruahnya walaupun di tempat-tempat yang sunyi dari pandangan orang lain, juga yang sering mengingati Alah serta takut kepadaNya dengan sebenar-benar takut, tetapi berani di dalam menegakkan Islam.

Isteri mesti menjaga hak dan kehormatan suaminya, samada suaminya ada di rumah atau tidak. Tingkah laku hendaklah disukai oleh
suaminya. Ditegah menyembunyikan harta benda suami. Dan ditegah juga berbangga-bangga akan kecantikan dirinya dan pada keluarganya. Jangan pula menghinakan suaminya kerana mempunyai rupa dan wajah yang buruk.

Isteri mestilah mendahului hak suaminya daripada hak dirinya sendiri atau kaum kerabatnya, sentiasa menunjukkan hemah yang tinggi, lemah lembut tidak maki hamun, sumpah-seranah, umpat-keji, bantah membantah dan lain-lain.

Menunjukkan sikap yang baik dan kemesraan dan lapang dada dalam segala hal yang menyebabkan  suaminya merasa senang dan tenang  di waktu dia ada di rumah. Selalu di dalam setiap tindakan dan keputusan, tingkahlaku budi bicara, tutur bahasa dan makan-minum janganlah terkeluar dari landasan yang digariskan oleh Islam.

Isteri yang Soleh mengikut pandangan Islam adalah isteri yang berpengetahuan, berakhlak mulia, tahu melayan suami serta mengasihi dan mendidik anak-anak ke jalan hidup yang dikehendaki oleh Allah dan mengikut landasan yang ditunjuki oleh Rasulullah S.A.W.

InsyaAllah baki kebahagiaan yang dua lagi akan saya sambung pada masa akan datang. Moga2 penulisan ini dapat di ambil manfaatnya untuk kita menyambung wasilah dan perjuangan Rasulullah S.A.W.