Bisikan ketenangan menyelubungi nurani, kesyahduan ku rasakan amat bererti, acap kali ku terdengar alunan suara insan-insan kerdil membasahi lidah dengan kalamMu Ya Ilahi, tiada putus-putus mendampingi kitabMu, membaca, mentadabbur, meneliti ayat-ayat suci. Segolongan insan yang dihormati, segolongan insan yang dipandang tinggi, inilah insan yang bergelar Hamlatul Quran, iaitu pendukung kitab suci. Hamlatul Quran itulah aku!

Terngiang-ngiang di telingaku ungkapan kata yang penuh makna, yang hanya dapat dihayati oleh hati-hati yang suci. Wasiat Ibnu Mas’ud yang berbunyi..

“…seharusnya bagi seorang Hamlatul Quran itu mengetahui…
malamnya ketika manusia dibuai mimpi, siangnya ketika manusia enak menikmati juadah, tangisannya ketika manusia bergelak ketawa, diamnya ketika manusia berkata yang
sia-sia, dan khusyuknya ketika manusia leka dengan kehidupan dunia…”

Aku merenung sejenak, Hamlatul Quran…begitukah aku?

Kata-kata itu mengetuk fikiranku, menyentuh hatiku, menyedarkan aku dari lamunanku, betapa Hamlatul Quran yang hakiki adalah insan-insan yang sanggup bermujahadah dalam kepayahan, mampu berkorban dalam tangisan dan rela imannya diuji dalam keperitan..Baru ku sedar, Hamlatul Quran..kau luar biasa!

Tatkala ku imbas kembali kisah silamku yang penuh dengan kelalaian, kealpaan, keseronokan seperti orang-orang kebanyakan, sememangnya tidak layak untuk diri ini dianugerahi dengan permata Ilahi yang nilainya terlalu tinggi jika dibanding dengan diri yang dhaif ini..

Namun… Kau anugerahkan jua aku kemuliaan ini, menjadi salah seorang insan pilihanMu, di dalam dunia Hamlatul Quran yang penuh dengan janji-janji manis di akhirat nanti.. ibu bapaku bakal Kau pakaikan dengan mahkota sebagai hadiah pengorbanan mereka mendidik ku mengenali kehidupan insani.

Tidak mahukah engkau dibangkitkan dengan sinaran cahaya jernih yang terpancar pada wajah yang berseri-seri? Hamlatul Quran, alangkah beruntungnya dikau..!

Sahabat-sahabat Al-Quran, sudahkah Al-Quran menakluki jiwamu? Menjadi kekasihmu, buah hatimu yang tiada bertepi? Ataukah manusia yang yang masih bertakhta di sanubari? Ataukah kasih manusia yang masih kau dambai? Pernahkah kau rasakan
Al-Quran itu teman sejati? Adakah impianmu sekadar satu ilusi dalam fantasi..yang implikasinya tidak sama dengan realiti kehidupan Hamlatul Quran?

Sahabatku… ingatlah, kita dipertemukan kerana Al-Quran, ukhwah mahabbah yang terjalin ini atas nama Al-Quran, dan semoga perpisahan kita adalah semata-mata untuk meneruskan perjuangan demi Al-Quran.

Ya Allah, jadikanlah aku seorang Hamlatul Quran yang sejati dan hakiki, sebagai penyejuk mata, penawar hati setiap insan di muka bumi. agar kehadiranku di dunia ini dihargai. Berkatilah aku dengan anugerah kemuliaan yang Kau beri. Sesungguhnya kehidupan di dalam dunia ini sungguh indah tidak terperi dengan alunan ayat-ayat suci yang sentiasa bermain di mulut, di telinga dan di hati. Lantas itu, ku pinta padaMu Ilahi, agar saat-saat akhir hayatku, alunan kalamMu jua yang mengiringi pemergianku.