Apabila kamu ditanya : Siapa tuhan kamu?

Maka jawablah: Tuhanku ialah Allah yang memeliharaku dan seluruh makhluk dengan nikmatNya. Dialah sahaja yang aku sembah dan tidak ada tuhan yang aku sembah selain daripadaNya. Dalilnya, firman Allah Taala:

الحمدلله رب العالمين

“Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbir sekalian alam”. (Surah Al-Fatihah, ayat 2).

Semua perkara selain daripada Allah adalah alam (makhluk) ciptaanNya dan aku adalah salah satu daripada makhlukNya.


Jika kamu ditanya lagi: Bagaimana kamu mengenali tuhan kamu?


Maka jawablah: Aku mengenalinya melalui tanda-tanda kekuasaanNya dan makhluk-makhluk ciptaanNya. Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian siang dan malam, matahari dan bulan dan di antara makhluk ciptaanNya ialah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi serta segala yang terkandung di dalam keduanya dan segala yang ada di antara keduanya. Dalilnya, firman Allah Taala:

ومن ءايته اليل والنهار والشمس والقمر لا تسجدوا للشمش ولاللقمر واسجدوا لله الذي خلقهن إن كنتم إياه تعبدون

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula kamu sujud kepada bulan dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, sekiranya kamu benar-benar beribadat hanya kepada Allah”. (Surah Fussilat, ayat 37).


Dan firmanNya lagi:

إن ربكم الله الذي خلق السموت والأرض في ستة أيامثم استوى على العرش يغشي اليل النهار يطلبه حثيثا والشمس والقمر والنجوم مسخرات بأمره ألا له الخلق والأمر تبارك الله رب العالمين

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang Menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari, lalu Dia bersemayam di atas Arasy, Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan cepat (silih berganti) dan (Dia pula Yang Menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbir sekalian alam”. (Surah Al-A’raf, ayat 54).

“Ar-Rabb” antara ertinya ialah: ‘Yang disembah’ (Hanya Allah sahaja yang layak disembah). Dalilnya, firman Allah Taala:

يأيها الناس اعبدواربكم الذي خلقكم والذين من قبلكم لعلكم تتقون. الذي جعل لكم الأرض فراشا والسماء بناء وأنزل من السماء ماء فأخرج به من الثمراترزقا لكم فلا تجعلوا لله أندادا وأنتم تعلمون

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa. Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) seperti bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu, maka janganlah kamu mengadakan sekutu bagi Allah, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)”. (Surah Al-Baqarah, ayat 21-22).

Kata Ibnu Kathir (rahimahullah Taala): “Hanya Pencipta segala kejadian ini sahaja yang layak disembah”.

Antara jenis-jenis ibadat yang diperintah oleh Allah agar dilaksanakan adalah seperti: Islam, Iman dan Ihsan. Di antaranya lagi ialah doa, (khauf) takut, (rajaa’) harap, tawakkal, (raghbah) gemar, (rahbah) gerun, khusyu’, (khasyiah) takut, (inabah) kembali kepadaNya, (isti’anah) minta pertolongan, (isti’azah) berlindung daripada kejahatan, (istighathah) minta bantuan, (Az-Zabh) korban dan nazar serta ibadat-ibadat lain yang telah diperintah oleh Allah. Semua ibadat ini  khas untuk Allah yang Maha Tinggi.


Dalilnya, firman Allah Taala:

وأن المساجد لله فلا تدعوا مع الله أحدا

Bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (beribadat kepada) Allah semata-mata, maka janganlah kamu menyeru dan menyembah sesiapapun bersama-sama Allah”. (Surah Al-Jin, ayat 18).


Sesiapa yang menjadikan salah satu daripada ibadat tersebut kepada selain daripada Allah maka dia telah menjadi syirik dan kufur terhadap Allah.


Dalilnya, firman Allah Taala

ومن يدع مع الله إلـها ءاخر لا برهان له به فإنما حسابه عند ربه إنه لا يفلح الكافرون

Sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang dalil (keterangan) mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya”. (Surah Al-Mukminun, ayat 117).


Dalil Doa:

Tersebut dalam hadis:

الدعاء مخ العبادة

“Doa adalah asas segala ibadat”.

Dalilnya, firman Allah Taala:

وقال ربكم ادعوني أستجب لكم إن الذين يستكبرون عن عبادتي سيدخلون الجهنم داخرين

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong (takbur) daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk ke dalam Neraka Jahannam dalam keadaan hina”. (Surah Ghafir [Al-Mukmin], ayat 60).

Dalil (Khauf) Takut:
Firman Allah Taala:

فلا تخافوهم وخافون إن كنتم مؤمنين

“Oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika kamu benar-benar orang yang beriman”. (Surah Ali ‘Imran, ayat 175).

Dalil (Rajaa’) Harap:

Firman Allah Taala:

فمن كان يرجوا لقآء ربه فليعمل عملا صالحا ولا يشرك بعبادة ربه أحدا

“Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (Surah Al-Kahfi, ayat 110).

Dalil Tawakkal:

Firman Allah Taala:

وعلى الله فتوكلوا إن كنتم مؤمنين

“Hanya kepada Allah hendaklah kamu berserah (bertawakkal), jika kamu benar-benar orang yang beriman”. (Surah Al-Maidah, ayat 23).

ومن يتوكل على الله فهو حسبه

“Sesiapa berserah diri (bertawakkal) kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya (menolong dan menyelamatkannya)”. (Surah At-Tholaq, ayat 3).

Dalil (Raghbah) Gemar, (Rahbah) Gerun dan Khusyu’:

Firman Allah Taala:

إنهم كانوا يسارعون في الخيرات ويدعوننا رغبا ورهباوكانوا لنا خاشعين

“Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan, gerun dan takut serta mereka pula sentiasa khusyu’ (taat) kepada Kami”. (Surah Al-Anbiya’, ayat 90).

Dalil (Khasyiah) Takut:

Firman Allah Taala:

فلا تخشوهم واخشوني

“Maka janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kamu kepadaKu”. (Surah Al-Baqarah, ayat 150).

Dalil (Al-Inabah) Kembali kepada Allah:

Firman Allah Taala:

وأنيبوا إلى ربكم وأسلموا له

Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah dirilah kepadaNya”. (Surah Az-Zumar, ayat 54).

Dalil (Isti’anah) Memohon Pertolongan:

Firman Allah Taala

إياك نعبدوا و إياك نستعين

“Hanya kepada Engkau sahajalah (Ya Allah) Yang Kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah  kami memohon pertolongan”. (Al-Fatihah, ayat 5).


Dalil daripada hadis:


(( إذا استعنت فاستعن بالله )).

“Apabila kamu meminta pertolongan maka mintalah dengan Allah”.


Dalil (Isti’azah) Memohon Perlindungan:

Firman Allah Taala:

قل أعوذ برب الناس

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung dengan Tuhan (Pemelihara) sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia”. (Surah An-Nas, ayat 1-2).


Dalil (Istighathah) Meminta Bantuan:

Firman Allah Taala:

إذ تستغيثون ربكم فاستجاب لكم

(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan daripada Tuhanmu, lalu Dia memperkenankan permohonan kamu”. (Surah Al-Anfal, ayat 9).

Dalil (Az-Zabh) Korban:

Firman Allah Taala:

قل إن صلاتى ونسكى ومحياى ومماتى لله رب العالمين

Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku (sembelihanku / korbanku), hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam, tiada sekutu bagiNya”. (Surah Al-An’am, ayat 162-163).


Dalil daripada hadis:


((لعن الله من ذبح لغير الله )).

“Allah melaknat sesiapa yang menyembelih (korban) untuk selain daripadaNya”.

Dalil Nazar:

Firman Allah Taala:

يوفون بالنذر ويخافون يوما شره مستطيرا

“Mereka menyempurnakan nazar mereka (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepada mereka), serta mereka takutkan hari (Akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini”. (Surah Al-Insan, ayat 7).